Rabu, 23 Oktober 2019 | 2:28pm
KETUA delegasi MyAQSA, Lukman Sheriff Alias (kanan) dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

MyAQSA kumpul bukti, keterangan untuk dakwa Israel di ICC

PUTRAJAYA: Yayasan MyAQSA (MyAQSA) yakin terdapat bukti dan keterangan kukuh untuk mensabitkan Israel atas kesalahan melakukan Jenayah Terhadap Kemanusiaan, ke atas rakyat Palestin yang diperuntukkan dalam Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ia hasil tinjauan dan penyelidikan pasukan delegasi MyAQSA di penempatan Palestin yang sering berdepan dengan tindakan perobohan oleh Israel di Wadi AI-Hummus, lssawiyya dan At-Tur di kawasan Baitulmaqdis di Tebing Barat.

MyAQSA pada tahun lalu memfailkan surat tuntutan dan pendakwaan terhadap Israel kepada ICC secara formal dalam usaha mendapatkan keadilan dan menuntut hak rakyat Palestin dikembalikan dengan aman.

Ketua delegasi MyAQSA, Lukman Sheriff Alias, berkata MyAQSA telah menghantar satu delegasi khas seramai 10 orang ke Tebing Barat pada awal bulan ini, bertujuan mengenal pasti saksi yang boleh digunakan ketika pendakwaan.

Katanya, ia susulan saranan pihak ICC kepada MyAQSA dalam pertemuan bersama di The Hague, Belanda, Mei lalu.

“Kami berada di Baitulmaqdis selama tiga hari bertemu secara terus dengan mangsa, mengumpul bukti dan mengambil keterangan secara langsung mengenai aktiviti jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap mereka.

“Di sana, kami menemuramah lebih 20 mangsa dan pemilik tanah Palestin yang sah di mana rumah mereka dirobohkan oleh secara zalim. Keterangan mereka diambil secara terperinci dan dirakam agar bukti ini dapat dibawa untuk perhatian dan tindakan Pejabat Pendakwaraya, ICC.

“Delegasi Khas MyAQSA berpandangan rejim Israel telah mengamalkan cara yang sistematik dan terancang untuk mengubah demografi kawasan yang didudukinya secara haram dengan cara salah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MyAQSA, Dr Noorazman Mohd Samsuddin.

Lukman berkata, dalam kes di Wadi Al-Hummus, kebanyakan rumah yang diroboh diberi alasan atas faktor keselamatan kerana terletak berhampiran dengan tembok pemisah yang dibina oleh Israel secara haram.

Katanya, lokasi yang diisytihar kawasan keselamatan di sekitar pembinaan tembok haram dibuat secara arbitrari dan tidak diberi justifikasi kepada tuan tanah rakyat Palestin, selain pelbagai sekatan tidak munasabah dikenakan ke atas pemilik agar mereka berpindah keluar.

“Di lssawiyya dan At-Tur, penduduk asal Palestin kerap diganggu. Mereka berdepan ancaman perobohan kediaman, serbuan dan penggeledahan rumah yang kerap berlaku serta penangkapan dan penahanan tanpa sebab pada bila-bila masa.

“Malah, ada yang mendakwa rumah mereka dirobohkan setelah ahli keluarga ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak berkuasa Israel. Suasana sebegini dilihat sengaja dirancang secara sistematik supaya penduduk di kawasan itu terpaksa berpindah keluar,” katanya.

Beliau berkata, MyAQSA sedang menyiapkan laporan lengkap terhadap dapatan itu dan akan menyerahkannya kepada pejabat Pendakwaraya, ICC, dijangka pada awal tahun depan.

“Kami dimaklumkan proses pendakwaan oleh ICC mengambil masa berbulan-bulan kerana perlu melalui beberapa proses iaitu siasatan, mengumpul bukti dan memanggil saksi sebelum pendengaran terbuka dimulakan,” katanya.

Sementara itu, Walid berkata, MyAQSA adalah satu-satunya pihak yang mengambil inisiatif mengumpul bukti bagi mensabitkan Israel ke ICC dan berterima kasih atas usaha itu, selain menghargai sokongan kerajaan serta rakyat Malaysia.

Berita Harian X