Selasa, 22 Oktober 2019 | 6:00pm
BANGUNAN Utusan Melayu Berhad di Jalan Chan Sow Lin. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
BANGUNAN Utusan Melayu Berhad di Jalan Chan Sow Lin. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Utusan, UHY diminta bayar pampasan, tunggakan gaji

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd diarah membayar pampasan penuh Skim Pemisah Sukarela (VSS) kepada bekas pekerja dan melunaskan gaji selama dua bulan kepada kakitangannya pada 30 Oktober ini.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataannya, turut meminta UHY Advisory (KL) Sdn Bhd yang bertindak sebagai Pelikuidasi Interim menyediakan pampasan kepada pekerja Utusan yang bakal diberhentikan.

Katanya, ia selaras dengan peraturan terkandung dalam Akta Kerja 1955.

“Majikan iaitu Utusan diminta mengemukakan borang Pemberhentian Kerja (PK) dan mengeluarkan notis penamatan kepada semua pekerja yang terbabit atau membayar gaji ganti notis,” kata kenyataan itu.

JTKSM yang mengadakan pertemuan bersama UHY Advisory pada 11 Oktober lalu di Putrajaya, turut dimaklumkan pekerja yang terbabit dalam pemberhentian itu belum menerima gaji bulan lalu.

“Keadaan ini menimbulkan beberapa isu dalam kalangan pekerja khususnya membabitkan potongan pinjaman bank. Pihak pekerja yang diberhentikan akan membuat tuntutan bayaran gaji di Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Kuala Lumpur dalam masa terdekat,” katanya.

JKTSM menjelaskan, bagi memastikan nasib semua pekerja tidak terabai, UHY Advisory dan Utusan Melayu disaran bekerjasama dengan PTK Kuala Lumpur untuk menjalankan program peluang pekerjaan dan memberi khidmat nasihat kepada pekerja.

Kerjasama itu, katanya, termasuk membuka kios JobsMalaysia, pembabitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui penawaran Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), penyelarasan bayaran pinjaman di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) serta penyertaan dalam Program Karnival Kerjaya yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Pihak UHY Advisory akan mengadakan satu sesi taklimat kepada semua pekerja pada 30 Oktober ini jam 3.30 petang di Dewan Besar Utusan berhubung tindakan diambil untuk membantu pekerja yang terbabit dalam pemberhentian ini,” katanya.

JTKSM berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati syarikat berkenaan menghadapi kemerosotan aliran tunai sejak Mei tahun lalu dan sudah mengeluarkan Memorandum Pekeliling pada 9 Oktober lalu, memaklumkan semua operasi syarikat berkenaan akan diberhentikan berkuat kuasa hari sama.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan syarikat bagi memperkukuh keadaan itu termasuk menawarkan VSS kepada 708 pekerja daripada 1,523 orang pekerja keseluruhannya, dengan pemberhentian peringkat pertama berkuat kuasa pada 30 November lalu.

“Syarikat juga berusaha mendapatkan aliran tunai bagi menampung modal melalui penjualan aset syarikat, namun gagal. Ini menyebabkan syarikat bersetuju melakukan Penggulungan Sukarela Pemiutang dan UHY Advisory dilantik Pelikuidasi Interim.

“UHY Advisory selaku Pelikuidasi sudah mengambil alih sepenuhnya syarikat pada 8 Oktober lalu dan status pembayaran gaji kepada 815 orang pekerja terbabit dalam pemberhentian pada 9 Oktober lalu tidak dapat dipastikan kedudukannya,” katanya.

Berita Harian X