Selasa, 22 Oktober 2019 | 4:25pm
Syed Saddiq berkata, beliau menyebutkan jumlah RM4 juta sebelum ini kerana menjawab soalan media dan bukan pengumuman khusus. - NSTP/Aizuddin Saad

Wartawan tanya, saya jawab - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Kenyataan mengenai peruntukan pembangunan sukan di Tanjung Piai tidak ada kena mengena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata sebaliknya beliau menyebutkan jumlah RM4 juta sebelum ini kerana menjawab soalan media dan bukan pengumuman khusus.

“Peruntukan ini sudah lama diluluskan atas permohonan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik (bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai) ketika beliau masih hidup, ia sudah lama dibincangkan.

“Saya juga tidak mengumumkan peruntukan ini, sebaliknya ada wartawan tanya apa pembangunan sukan yang ada di Tanjung Piai.

“Saya tidak pergi ke pentas dan umumkan peruntukan peruntukan baru diluluskan. Media tanya, maka saya jawablah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Justeru, katanya, adalah tidak kena jika ada pihak mendakwa beliau mengambil kesempatan mengumumkan peruntukan pembangunan semata-mata kerana kawasan berkenaan akan berdepan PRK.

Syed Saddiq mengulas kritikan pembangkang berhubung tindakan beberapa menteri mengumumkan peruntukan di Tanjung Piai menjelang kempen PRK Parlimen Tanjung Piai, yang disifatkan sebagai cubaan membeli undi.

Antaranya, Syed Saddiq menyatakan peruntukan RM4 juta untuk naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, Sabtu lalu, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, mengumumkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, pula memaklumkan 23 permohonan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai sudah diluluskan dengan peruntukan RM230,000.

Rina dan Salahuddin sebelum ini juga menafikan pengumuman itu ada kaitan dengan PRK parlimen berkenaan.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Berita Harian X