Selasa, 22 Oktober 2019 | 3:17pm
Gambar fail, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh pada sidang media selepas Sidang Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Gambar fail, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh pada sidang media selepas Sidang Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Terap maqasid syariah dalam perundangan Islam

PUTRAJAYA: Hakim mahkamah syariah perlu memastikan setiap pertimbangan kes yang dikendalikan mereka, mengambil kira aspek maqasid syariah supaya penghakiman yang dibuat lebih adil.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata setiap hakim perlu memantapkan ilmu masing-masing dalam aspek maqasid syariah yang dianggap kunci utama yang melindungi, menyubur dan memantapkan prinsip dan nilai Islam demi mencapai kepentingan serta matlamat kehidupan sebenar.

“Dalam konteks kehakiman syariah, hakim syarie perlu memantapkan ilmu supaya penghakiman yang dibuat dapat mencapai keadilan sekali gus memberikan hak kepada yang berhak.

“Hakim syarie hendaklah berhati-hati dalam membuat penghakiman. Pertimbangan yang diberikan bukan hanya kepada penghujahan oleh satu pihak semata-mata sebaliknya perlu memenuhi minda maqasid yang digariskan oleh syarak.

“Ia penting bagi menjamin keadilan melalui penghakiman yang efektif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Diskusi Undang-undang dan Hukum Syarak: Maqasid Syariah Dalam Kehakiman di sini, hari ini.

Diskusi berkenaan adalah untuk memberi kefahaman yang jelas dan membentuk minda maqasid syariah dalam pelbagai fungsi dan membuka ruang pemikiran bagi mengaplikasi kefahaman maqasid dalam enam bidang teras iaitu Hakim Syarie, Pendaftar, Pendakwa Syarie, Peguam Syarie, Pegawai Sulh dan Pegawai Penyelidik.

Fuziah menegaskan bagi memastikan kesejahteraan ummah dapat dicapai, maqasid syariah menggariskan lima prinsip utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Prinsip ini adalah asas kukuh dalam tadbir urus sesebuah negara termasuklah dalam bidang kehakiman dan perundangan syariah.

“Kefahaman yang jelas mengenai maqasid syariah penting untuk diaplikasi dalam pentadbiran institusi kehakiman dan perundangan syariah, penghakiman dan penggubalan undang-undang,” katanya.

Fuziah berkata, ini kerana maqasid syariah bukan tertakluk kepada penghakiman di mahkamah syariah semata-mata tetapi boleh diaplikasikan sebagai nilai inti dalam penentuan dasar setiap kementerian.

“Itulah harapan kita kerana maqasid syariah tidak bertentangan dengan semua perkara dan ia adalah payung segalanya,” katanya.

Menyentuh peranan maqasid syariah dalam menangani isu rasis, Fuziah berkata, beliau menyifatkan isu perkauman dicetuskan pihak tertentu atas agenda politik dengan berselindung atas nama agama.

“Islam tidak mengajar mengenai perkauman. Jadi masyarakat perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam agenda politik seperti ini,” katanya.

Berita Harian X