Isnin, 21 Oktober 2019 | 4:24pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Mahasiswa kesempitan boleh mohon bantuan zakat

BANGI: Pelajar universiti yang mengalami kesempitan hidup boleh memohon bantuan zakat bagi mengurangkan beban kewangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Malah, katanya, ketika ini pun sudah ramai mahasiswa yang menerima bantuan itu.

“Mahasiswa boleh memohon (bantuan zakat)... tidak ada masalah. Kita akan melihat keperluan mereka,” katanya kepada media selepas menghadiri program Nadwah Kepimpinan Mahasiswa Rahmah (NADI) 2019 di sini, hari ini.

BH dalam laporan muka depannya semalam mendedahkan mengenai mahasiswa yang terpaksa bergelut membayar kadar sewa rumah mahal, mencecah RM1,500 sebulan bagi rumah kos rendah di ibu negara sehingga memaksa mereka menetap seperti warga asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad.

Lebih membebankan, jika tiada pilihan, mereka terpaksa menyewa rumah yang mencecah RM3,000 sebulan, dengan berkongsi tinggal sehingga 20 orang.

Berdasarkan tinjauan BH, flet di sekitar bandar raya disewakan pada harga antara RM1,000 hingga RM1,500, manakala deposit pula membabitkan bayaran dua tambah satu, termasuk utiliti pada kadar RM300 hingga RM500.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, pihaknya memerlukan maklumat terperinci jika ada mahasiswa di Wilayah Persekutuan yang berdepan masalah seperti itu.

“Ada banyak kategori bantuan zakat yang kita boleh lihat (bagi membantu mahasiswa).

“Jika benar ia berlaku, saya memerlukan maklumat dan Insya-Allah, pihak Jejak Asnaf kita akan terus mengambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Mujahid memaklumkan kertas dasar mengenai Rahmatan lil Alamin dijangka dibentangkan ke Kabinet, Jumaat ini.

“Semua proses sudah dilalui. Apabila dibentangkan nanti, maknanya kerajaan menerima secara rasmi dasar pentadbiran Islam ini yang menuntut ia dilaksanakan merentas kementerian,” katanya.

Program NADI 2019 yang diadakan empat hari menghimpunkan mahasiswa dari hampir 30 universiti dan Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mengupas serta memahami konsep Rahmatan lil Alamin.

Berita Harian X