X
Rabu, 16 Oktober 2019 | 4:40pm
ANGGOTA bomba memadam kebakaran hutan di Taman Negara Sebangau di Palangka Raya, Kalimantan Tengah. - Foto Reuters
ANGGOTA bomba memadam kebakaran hutan di Taman Negara Sebangau di Palangka Raya, Kalimantan Tengah. - Foto Reuters

Syarikat Malaysia bukan penyebab jerebu

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai bukti menunjukkan semua tompok panas di Indonesia berada dalam kawasan ladang kelapa sawit.

Sebaliknya, faktor yang menyebabkan kebakaran hutan di republik itu dikesan berpunca daripada musim kemarau berpanjangan, kejadian El Nino dan iklim semula jadi yang lebih panas.

Berdasarkan laporan, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata beberapa kebakaran di Indonesia dimulakan pekebun kecil, sebelum merebak ke sekitar kawasan penanaman kelapa sawit milik syarikat perladangan Malaysia, berikutan cuaca panas serta pergerakan angin.

Tanpa memperinci jumlah tertentu, kerajaan menegaskan syarikat perladangan Malaysia yang didakwa terbabit dalam pembakaran hutan di Indonesia mengamalkan penanaman lestari menepati standard pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Syarikat terbabit turut akur kepada garis panduan mengikut pensijilan Minyak Sawit Mampan Indonesia (ISPO) dan pensijilan Rundingan Meja Bulat Kelestarian Minyak Kelapa Sawit (RSPO), selain gabungan sistem pensijilan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

“Jika terbukti syarikat perladangan (Malaysia) ini terbabit dalam pembakaran hutan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang dan peraturan tempatan (Indonesia).

“Sekiranya berlaku di negara kita, tindakan boleh diambil mengikut 60 peraturan dan undang-undang, malah ada 25 kategori pelesenan di seluruh rantaian bekalan industri sawit.

“Ini bagi memastikan penggiat industri memenuhi keperluan ketat seperti yang ditetapkan mengikut peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) yang meminta pengesahan sama ada syarikat perladangan kelapa sawit milik Malaysia, terbabit dalam kegiatan pembakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) berhubung usaha kerajaan merujuk kembali perjanjian yang dimeterai Malaysia-Indonesia pada 2015 dalam menyelesaikan isu jerebu, Shamsul Iskandar berkata, Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) memandang serius perkara berkenaan.

Kerajaan menjelaskan syarikat penanaman kelapa sawit milik Malaysia di Indonesia sebenarnya berdepan masalah kerana kawasan perladangan mereka yang luas, mempunyai perkampungan kecil pekebun warga republik terbabit.

“Mereka ini (pekebun Indonesia) tidak boleh sewenang-wenangnya dibawa keluar dari kawasan penanaman kelapa sawit itu, sekali gus mencetuskan isu berbangkit.

“Hal ini kerana mereka melakukan ‘slash and burn’ (pembakaran terbuka untuk menyuburkan tanah) yang menjadi cabaran kepada syarikat perladangan kelapa sawit milik Malaysia.

“Sebab itu, apabila wujud kenyataan terbuka oleh pihak Indonesia, syarikat tempatan kita dengan segera menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap konsep pembakaran terbuka,” katanya.

Berita Harian X