Rabu, 16 Oktober 2019 | 1:56pm

Ekuiti TH meningkat RM1.12b dalam 9 bulan

KUALA LUMPUR: Pasca langkah penstrukturan semula, nilai ekuiti Tabung Haji (TH) meningkat RM1.12 bilion, iaitu daripada RM6.36 bilion pada penghujung 2018 kepada RM7.48 bilion setakat 27 September lalu.

Seiring peningkatan ekuiti berkadar 14 peratus dalam tempoh sembilan bulan itu, kerajaan menumpukan sektor pelaburan agensi terbabit kepada syarikat utama Bursa Malaysia dengan prestasi kewangan dan rekod dividen yang baik.

Kriteria lain yang turut diambil kira ialah kemampuan syarikat disenarai Bursa Malaysia berkenaan dalam menjana pendapatan stabil dan patuh syariah seperti saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta PETRONAS.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata TH kini giat mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap seperti sukuk.

Kerajaan menyifatkan perubahan strategi pelaburan TH kepada aset yang lebih stabil berjaya mengurangkan tekanan daripada keadaan pasaran saham tidak menentu akibat ketegangan perang dagang di peringkat global.

“Nilai saham dan harta TH yang dijual sehingga 30 Jun lalu adalah RM1.2196 bilion, dengan jumlah hasil keuntungan ialah RM61.1 juta.

“Pendapatan diperoleh daripada RM1.32 bilion ini dilabur semula dalam pelbagai instrumen kewangan yang menjana pendapatan lebih teguh dan stabil, terutama saham berpotensi di Bursa Malaysia,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai pendapatan TH sehingga Jun 2019, selain penjualan aset dan anggaran keuntungan agensi terbabit.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) mengenai laporan prestasi aset TH yang kini dikendalikan Syarikat Tujuan Khas (SPV), Fuziah mengesahkan tiada urusan jual beli bagi tempoh sembilan bulan ini.

Pemindahan aset kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) itu merangkumi 29 harta tanah, sebuah syarikat tidak tersenarai dan 106 sekuriti ekuiti domestik dengan nilai kredit kepada TH sebanyak RM19.9 bilion.

Bersandarkan laporan prestasi semasa, kerajaan menjelaskan aset berkenaan giat dipulihkan bagi memacu tahap pendapatannya, sekali gus menolak dakwaan segelintir pihak bahawa harta TH sudah dijual kepada pihak tertentu.

“TH mempunyai keutamaan hak untuk menolak keputusan sekiranya SPV ingin menjual mana-mana aset terbabit, jadi ini demi kepentingan orang ramai bahawa aspek penjualan bukan dikendalikan secara sewenang-wenangnya,” katanya.

Berita Harian X