Rabu, 16 Oktober 2019 | 11:58am
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Mereka boleh cuba - PM

KUALA LUMPUR: “Mereka boleh cuba,” itu reaksi ringkas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya UMNO dan PAS menyertai Pakatan Harapan (PH).

Hishammuddin dilaporkan mencadangkan supaya UMNO dan PAS menyertai PH tanpa penyertaan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ditanya sama ada Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO pernah menyuarakan cadangan itu kepada beliau pada pertemuan sebelum ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata ia tidak disuarakan.

Semalam, Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan menyifatkan cadangan Hishammuddin itu akan menghidupkan kembali budaya politik dan pentadbiran negara berasaskan kaum.

Majlis itu menegaskan mereka berpegang teguh kepada Muafakat PH yang dipersetujui bersama oleh PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), AMANAH dan DAP untuk kekal dalam kerajaan PH yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam Kabinet.

Berikutan itu, mereka menggesa Hishammuddin dan rakannya perlu menghentikan kempen untuk mengetengahkan idea pembentukan kerajaan baharu tanpa penyertaan DAP dan AMANAH.

Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bahawa isu peralihan kuasa akan menyebabkan pelabur kurang melabur di negara ini berikutan ketidaktentuan politik, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

“Pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke negara ini berjumlah berbilion ringgit, mana ada kurang. Namun, kita memerlukan lebih banyak lagi pelaburan kerana ia mencipta pekerjaan.

“Kita perlu melalui pengalaman ini (ketidaktentuan ekonomi) kerana sebelum ini juga, kita berdepan masalah sama. Dulu ada percubaan untuk meruntuhkan ekonomi negara tapi kita perlu hadapi masalah ini,” katanya.

Berita Harian X