Isnin, 14 Oktober 2019 | 11:12am

Matlamat jelas jadikan negara bebas rasuah

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggariskan matlamat jelas ke arah menjadikan Malaysia bebas rasuah, iaitu dengan menghapuskan salah guna kuasa, mengekang campur tangan politik, menghentikan kronisme dan nepotisme serta menghapuskan penyelewengan dan kelemahan tadbir urus.

Secara amnya, perlakuan memberi atau menerima suapan, mencuri, menggelapkan, melakukan pemalsuan, pemerasan atau ugutan dan menyalah guna pangkat serta jawatan awam ketika berkuasa bukan sahaja merugikan rakyat, malah turut menghumban negara ke lembah kelam.

Laporan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 mendedahkan rasuah berlaku kerana kurangnya sokongan dan kesedaran, kerenah birokrasi, kurang pengesanan awal, kurang usaha pencegahan dan kelemahan penguatkuasaan.

Malah, analisis lebih 20,000 maklumat berkaitan rasuah diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013 hingga 2018 mengenal pasti sembilan punca rasuah dengan 80 peratus daripadanya disebabkan kegagalan pentadbiran, konflik kepentingan, kelemahan kawalan dalaman dan ketidakpatuhan serta kurang ketelusan.

Justeru, Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 (WKB30) yang dilancarkan kerajaan menampilkan iltizam jelas untuk menjadikan Malaysia negara berdasarkan ekonomi yang terus berkembang rancak dan mampan tanpa dipalit gejala rasuah.

Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, berkata agenda memerangi rasuah adalah usaha penting memakmurkan negara.

Sejak penubuhan GIACC, jelasnya, pelbagai usaha dilakukan untuk membanteras rasuah dan salah laku dalam tadbir urus bagi memastikan Malaysia dikemudi berdasarkan amanah, ketelusan dan kredibiliti.

“Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membuktikan rakyat jelak dengan apa yang berlaku sehingga negara dilabel kleptokrat, malah rasuah boleh diibaratkan sebagai barah peringkat empat.

“Selepas PRU-14, tindakan drastik perlu diambil sehingga tertubuhnya GIACC dan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bagi mencari jalan menutup segala lubang rasuah,” katanya kepada BH.

NACP 2019-2023 yang dilancarkan pada Januari lalu, tegasnya, adalah pelan utama membanteras rasuah di semua peringkat, baik sektor awam mahu pun swasta.

TIMBALAN Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff. - Foto Rosdan Wahid
TIMBALAN Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff. - Foto Rosdan Wahid

Antara kejayaan GIACC dan NACP termasuk menyuburkan semula fungsi Parlimen dengan penubuhan enam Jawatankuasa Khas Parlimen dianggotai ahli Parlimen, Ogos tahun lalu.

“Pelaksanaan dasar pengisytiharan aset oleh kerangka pentadbiran termasuk Perdana Menteri dan ahli Parlimen serta arahan tiada lagi pelantikan politik bagi jawatan penting kerajaan turut membuktikan kesungguhan itu.

“Akta Ombudsman diperkenalkan sebagai usaha reformasi bagi menambah baik Biro Pengaduan Awam dalam memperkasakan sektor perkhidmatan awam,” katanya.

Kelemahan dan kegagalan tadbir urus membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi seperti kes membabitkan FELDA turut dipandang serius.

Malah JKKMAR mengarahkan Kementerian Kewangan menyediakan garis panduan pelantikan pengurusan kanan, pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC.

Pembiayaan politik dan pilihan raya adalah antara komponen yang melalui proses reformasi dengan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik dijangka dibentangkan di Parlimen, bulan depan.

Anis Yusal berkata, tindakan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati melakukan rasuah dan menyalah guna kuasa tanpa mengira pangkat.

“Ada yang mendakwa sebelum ini tindakan hanya diambil terhadap ‘ikan bilis’. Bukan begitu. Rasuah tetap rasuah, salah tetap salah. Tidak kira orang itu berpangkat atau tidak, jika rasuah, tindakan perlu dikenakan.

“Ramai ditahan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa berpangkat besar. Usaha ini dilakukan bagi memastikan usaha memerangi rasuah berjaya,” katanya.

Selepas lebih setahun peralihan kerajaan, Malaysia mencatat peningkatan memberangsangkan di mata dunia dan diiktiraf badan antarabangsa.

Indeks Kebebasan Media 2019 meletakkan Malaysia di tempat pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara, selain meningkat ke tempat keempat daripada 12 ekonomi Asia Pasifik tahun lalu, berbanding ketujuh pada 2016 bagi tadbir urus korporat.

Anis Yusal berkata, usaha memerangi rasuah masih berdepan cabaran dan hanya akan berjaya dengan sokongan semua pihak.

“Rasuah dari aspek agama hukumnya haram. Islam melarang amalan atau perbuatan rasuah dalam apa juga bentuk merangkumi menipu, mencuri, meminta atau menerima suapan. Semuanya bergantung kepada sikap,” katanya.

Berita Harian X