Ahad, 13 Oktober 2019 | 5:45pm
Kemarahan melampau boleh menyebabkan seseorang individu hilang pertimbangan sehingga sanggup membunuh. - Foto hiasan

Pembunuhan boleh berlaku akibat kemarahan melampau

KUALA LUMPUR: Kemarahan melampau boleh menyebabkan seseorang individu hilang pertimbangan sehingga sanggup membunuh seperti tragedi menimpa dua sekeluarga yang mayat mereka ditemui dikerat sebelum dibuang ke dalam semak di Kampung Ladang, Krubong di Melaka, Khamis lalu.

Ketua Unit Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad, berkata beliau tidak menolak kemungkinan suspek bertindak demikian akibat terlalu marah kerana masalah peribadi dengan mangsa.

Bagaimanapun, Dr Fauziah berkata, sebelum membuat sebarang keputusan mengenai motif sebenar pembunuhan itu, pihak berkuasa juga perlu menyiasat mengenai latar belakang dan sejarah peribadi suspek dan status hubungannya dengan mangsa.

“Seseorang itu mungkin akan melakukan pembunuhan kejam sedemikian kerana terlalu marah atas faktor tertentu sehingga boleh membunuh dan memotong mayat mangsa kepada beberapa bahagian.

“Ia boleh mencetuskan kemarahan melampau sehingga bertindak di luar kawalan, termasuk membunuh dan memotong mayat kepada beberapa bahagian sebelum membuangnya ke hutan kerana mahu menutup jenayah dilakukan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Fauziah juga tidak menolak kemungkinan bahawa seseorang individu boleh menjadi pembunuh kejam kerana terlalu tertekan atau menghadapi masalah kemurungan.

Kelmarin, seorang lelaki warga Singapura bagi membantu siasatan kes penemuan lapan bahagian tubuh manusia dipercayai mangsa bunuh dalam kawasan belukar di Kampung Ladang, Krubong sehari sebelumnya.

Polis percaya suspek mempunyai maklumat berkaitan kes pembunuhan itu yang sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mangsa yang juga seorang wanita berusia 27 tahun bersama anak lelakinya yang berusia 11 tahun dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Melaka berdasarkan kesan darah di sebuah bilik di kediaman itu sebelum dicampak ke kawasan belukar.

Berita Harian X