Ahad, 13 Oktober 2019 | 1:21pm
Kes letupan belon di Putrajaya semalam bukan kali pertama berlaku, malah sudah beberapa siri kes letupan berlaku membabitkan belon di beberapa program kemasyarakatan.

'Ambil berat aspek keselamatan aktiviti luar sekolah'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan perlu mengambil berat aspek keselamatan dalam semua aktiviti luar sekolah membabitkan pelajar pada masa depan.

Aktivis keselamatan pekerjaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata semua aktiviti di luar sekolah wajar dipantau oleh guru yang mempunyai kepakaran dalam aspek keselamatan.

Katanya, langkah itu penting bagi meningkatkan ilmu keselamatan dalam kalangan murid dan pelajar mengenai amalan keselamatan dan kesihatan (OSH) di sekolah.

“Kes letupan belon di Putrajaya semalam bukan kali pertama berlaku, malah sudah beberapa siri kes letupan berlaku membabitkan belon di beberapa program kemasyarakatan.

“Antaranya di pantai Batu Burok Terengganu pada 2016 yang menyebabkan kecederaan 30 kanak-kanak.

“Bagaimanapun, ia nampaknya belum memberi pengajaran kepada pihak penganjur untuk meningkatkan unsur keselamatan.

“Bagi program membabitkan penyediaan belon ringan, penganjur perlu memastikan belon betul-betul diisi gas helium kerana ia gas kedua paling ringan.

“Helium berada dalam kategori gas tidak akan terbakar. Jika mancis dinyalakan pada belon berisi helium, belon akan pecah tetapi tidak meletup atau terbakar.

“Apa yang merisaukan ialah jika pihak pembekal menyediakan belon berisi gas hidrogen kepada pihak penganjur.

“Hidrogen adalah gas paling ringan dan aras apungannya lebih tinggi berbanding helium.

“Hidrogen mudah meletup jika ada sumber api berdekatan manakala dari segi kos, ia lebih murah berbanding helium.

“Oleh itu, pastikan program membabitkan penyediaan belon ringan mematuhi peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak melecur apabila belon berisi helium meletup selepas selesai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rosly Hassan, dipetik sebagai berkata, kejadian berlaku jam 11.34 pagi membabitkan sembilan mangsa kanak-kanak dan tujuh dewasa berusia antara empat hingga 30-an.

Berita Harian X