Ahad, 13 Oktober 2019 | 11:49am

Belon meletup mungkin dicampur gas lain - TPM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan insiden belon meletup dalam satu majlis yang mencederakan beberapa orang semalam, berpunca daripada penggunaan gas selain helium.

Timbalan Perdana Menteri berkata, andaian itu dibuat atas perkiraan helium bukan gas yang mudah terbakar.

“Saya ada berbincang dengan menteri dan timbalan menteri pendidikan semalam untuk melihat sama ada insiden ini perlu diwujudkan garis panduan.

“Setahu saya, jika gunakan gas helium tiada apa (letupan) akan berlaku, tapi jika dicampur (gas lain) untuk mengurangkan kos, itu menyebabkan masalah.

“Kalau kita tahu ada penggunaan gas mudah terbakar, janganlah gunakan apa-apa api seperti pemetik api, vape atau rokok,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis serahan kunci rumah kepada mangsa kebakaran setinggan Pandan Jaya di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada wujud keperluan merangka garis panduan tertentu bagi mengelakkan insiden belon meletup itu tidak berulang pada masa depan.

Yang turut hadir, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Abd Hamid Hussain.

Seramai 16 individu cedera apabila belon yang didakwa berisi gas helium meletup selepas perasmian Program Kecergasan Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan 2019 di Putrajaya, semalam.

Kejadian dipercayai pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon termasuk menggunakan pemetik api.

Laporan BH hari ini memetik kenyataan pensyarah Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Yap Wing Fen, yang antara lain menjelaskan, penggunaan helium sepenuhnya dalam belon adalah selamat.

Helium berada di Kumpulan 18 (gas adi) dalam jadual berkala dan unsur dalam kumpulan ini tidak bertindak balas dengan sebarang unsur lain, melainkan berada dalam suhu dan tekanan sangat tinggi.

Dr Wan Azizah berkata, enam individu yang dirawat di Hospital Putrajaya dilaporkan stabil, namun hanya empat dibenarkan pulang, bergantung kepada doktor pakar.

“Dua lagi pesakit stabil, namun masih memerlukan rawatan lanjut, khususnya cucian luka di wad.

“Seorang kaunselor daripada pasukan sokongan psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini memberikan kaunseling trauma kepada mangsa,” katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan menyerahkan surat tawaran rumah transit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada 24 keluarga mangsa kebakaran setinggan Pandan Jaya.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan penerima pada majlis serahan kunci rumah kepada mangsa kebakaran setinggan Pandan Jaya di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

Kebakaran di kawasan yang berada di bawah kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) antara Mei tahun lalu hingga Jun lalu, menyebabkan puluhan keluarga kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menetap di Dewan Serba Guna Pandan Jaya selama beberapa bulan.

“Bagi mengelak masalah kebakaran ini berulang, saya mengarahkan TNB memagar kawasan terbabit supaya tidak wujud lagi pembinaan rumah setinggan baharu kerana membahayakan keselamatan penduduk,” katanya.

Seramai 16 individu cedera apabila belon yang didakwa berisi gas helium meletup selepas perasmian Program Kecergasan Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan 2019 di Putrajaya, semalam.
Berita Harian X