Sabtu, 12 Oktober 2019 | 4:11pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat mangsa yang cedera akibat belon helium meletop di Hospital Putrajaya. - NSTP/IHSAN Pejabat Timbalan Perdana Menteri

Belon helium meletup, 16 mangsa melecur

PUTRAJAYA: Seramai 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak melecur apabila belon berisi gas helium meletup selepas selesai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.34 pagi tadi membabitkan sembilan mangsa kanak-kanak dan tujuh dewasa berusia antara empat hingga 30-an.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas tamat program berkenaan apabila ada pengunjung dan peserta program mahu mengambil belon digunakan pada gimik perasmian program itu untuk dibawa pulang.

“Siasatan mendapati terdapat tiga gugusan belon berwarna biru, kuning dan merah berisi gas helium yang terikat, cuba diambil pengunjung.

“Ada saksi berkata berlaku perebutan antara pengunjung di situ yang mahu mengambilnya dengan ada yang menggunakan gunting untuk memutuskan tali, selain ada individu lain menggunakan pemetik api.

“Penggunaan pemetik api itu menyebabkan belon meletup dan serpihan belon mengenai mangsa yang mengakibatkan mereka melecur,” katanya kepada media di Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan membakar tali pengikat belon itu dipercayai dilakukan seorang lelaki dewasa susulan penemuan pemetik api di lokasi kejadian.

“Kita akan teruskan siasatan lanjut dan usaha mengesan lelaki terbabit sedang dijalankan. Kita juga meminta saksi lain yang melihat kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya, Dr Khairul Nizam Hassan berkata, semua mangsa dalam keadaan stabil dan tiada yang kritikal.  

“Kumpulan pertama mangsa tiba untuk rawatan kecemasan pada jam 12.20 tengah hari sebelum disusuli mangsa lain.

“Mereka mengalami melecur tahap satu dan dua serta kesan melecur di bahagian berbeza pada setiap mangsa. Ada yang di kening, muka, kulit kepala dan tangan.

“Setakat ini enam pesakit memerlukan pemerhatian lanjut, manakala selebihnya akan dibenarkan pulang jika rawatan sudah selesai,” katanya.

Berita Harian X