Jumaat, 11 Oktober 2019 | 7:31pm
Sejumlah RM25 juta diperuntukkan untuk mengurus, mentadbir dan memperluaskan program Food Bank ke seluruh negara. - Foto hiasan
Sejumlah RM25 juta diperuntukkan untuk mengurus, mentadbir dan memperluaskan program Food Bank ke seluruh negara. - Foto hiasan

Belanjawan 2020 bukti kerajaan prihatin kebajikan rakyat

KUALA LUMPUR: Lebih RM700 juta diperuntukkan bagi menyokong pertubuhan kebajikan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan aktiviti mereka membantu rakyat yang memerlukan.

Dalam Belanjawan 2020 diumumkan hari ini, RM575 juta disediakan untuk bantuan sosio-ekonomi yang memberi manfaat kepada 137,000 warga emas dengan pendapatan isi rumah di bawah paras kemiskinan.

Sejumlah RM25 juta pula diperuntukkan untuk mengurus, mentadbir dan memperluaskan program Food Bank ke seluruh negara.

Food Bank adalah inisiatif bagi mengagihkan semula 3,000 tan metrik tan lebihan makanan yang diderma setiap hari kepada kumpulan sasaran memerlukan, terutama golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Sebanyak RM4.6 juta diperuntukkan kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) untuk menampung perbelanjaan 129 pusat di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 37,000 warga emas.

Peruntukan RM80 juta pula untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 pelbagai institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk pusat jagaan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Belanjawan 2020 turut memperuntukkan RM20 juta untuk lima Pusat Latihan Berdikari (ILC) baharu, program latihan bagi Sindrom Down Syndrome dan TASKA orang kurang upaya (OKU).

Pada masa yang sama, perkhidmatan latihan dan tunjuk ajar disediakan oleh penyedia perkhidmatan latihan kepada golongan OKU akan dikecualikan cukai perkhidmatan.

Selain itu, sebanyak RM15 juta diperuntukkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi melaksanakan program RINTIS bersama NGO dan komuniti tempatan bagi meningkatkan keberkesanan program pemulihan dadah

Dalam menjaga kebajikan golongan gelandangan, kerajaan juga memperuntukan sebanyak RM4.5 juta untuk Anjung Singgah yang memanfaatkan 7,000 gelandangan.

Berita Harian X