Jumaat, 11 Oktober 2019 | 6:33pm
Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada MHTC untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan di rantau ASEAN. - Foto hiasan
Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada MHTC untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan di rantau ASEAN. - Foto hiasan

Malaysia perkukuh destinasi pelancongan perubatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menganjurkan Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 (MyHT 2020) sebagai pengisian program Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) untuk memperkukuh kedudukan utama negara sebagai destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, berkata bagi mempromosikan pelancongan kesihatan, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan di rantau ASEAN khususnya dalam bidang onkologi, kardiologi dan rawatan kesuburan.

Pelancongan perubatan adalah sektor berkembang pesat dengan peningkatan 17 peratus setiap tahun dengan sektor ini menjana pendapatan RM1.5 bilion daripada 1.2 juta pelancong kesihatan, pada 2018.

Mengulas Belanjawan 2020 itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli, berkata pihaknya yakin peruntukan berkenaan adalah kepercayaan berterusan kerajaan untuk memajukan industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia ke peringkat antarabangsa sebagai destinasi utama pilihan global bagi sektor pelancongan berkenaan.

“Sokongan jitu ini mampu membawa MHTC ke tahap yang lebih tinggi, di samping menyumbang kepada impak yang positif kepada ekonomi negara terutama kempen MyHT 2020,” katanya memberi reaksi kepada pembentangan Belanjawan 2020, semalam.

Beliau berkata, pihaknya masih merangka inisiatif baharu untuk memajukan Malaysia sebagai destinasi global pelancongan penjagaan kesihatan melalui pelaksanaan kempen itu.

“MyHT2020 menjadi penanda aras kejayaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan yang diakui oleh rakan industri berpengalaman di peringkat global. Inisiatif ini akan memanfaatkan TMM 2020 bagi mengetengahkan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi percutian, sebaliknya pelancongan penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

Tahun lalu, MHTC berjaya memperoleh RM1.5 bilion daripada hasil kutipan hospital dengan sumbangan antara RM5 billion hingga RM6 bilion secara keseluruhan kepada ekonomi negara.

Berita Harian X