Khamis, 10 Oktober 2019 | 12:32pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

84 aset Khazanah dilupuskan antara 2009 hingga April 2018

KUALA LUMPUR: Sebanyak 84 aset Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dilupuskan sejak 2009 hingga empat bulan pertama 2018 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan ia menunjukkan penjualan aset dalam Khazanah bukan perkara baharu, justeru beliau mempersoalkan tindakan Datuk Seri Najib Razak yang mengkritik keputusan kerajaan sekarang menjual aset Khazanah baru-baru ini.

Mohamed Azmin berkata, ketika Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009, Ahli Parlimen Pekan itu melupuskan lapan aset Khazanah, diikuti tujuh aset (2010), lapan aset (2011), 10 aset (2012) dan masing-masing enam aset pada 2013 dan 2014.

Pada 2015, 10 aset (dilupuskan); 2016 ketika hampir pilihan raya umum, 13 aset; 2017, 12 aset dan empat bulan pertama 2018, Pekan menghapuskan empat aset.

"Jumlah yang dilupuskan Pekan adalah 84 aset Khazanah. Jadi, di mana Pekan ingin menyanggah keputusan kerajaan baharu (melupuskan aset) untuk memastikan kita memperoleh pulangan terbaik," katanya pada sesi soal jawab Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berhubung justifikasi kerajaan untuk menjual aset Khazanah yang disifatkan cukup strategik ketika pasaran saham merudum dan rancangan strategik kerajaan untuk menstruktur semula aset sedia ada bagi memastikan Khazanah mencatat keuntungan pada masa akan datang.

Najib sebelum ini dilaporkan mengkritik keputusan kerajaan berhubung penjualan aset Khazanah, termasuk menjual Pusat Perubatan Prince Court.

Menjelaskan lebih lanjut, Azmin berkata, kerugian RM6.3 bilion Khazanah bagi tahun kewangan 2018 adalah hasil pelaburan kerajaan lama yang tidak strategik, berikutan aset yang dilaburkan tidak memberi nilai tambah dan pulangan terbaik.

Kerugian itu sudah tercatat dalam pentadbiran dulu tetapi tidak diambil kira rosot nilai dalam penyata kewangan. Tidak berlaku ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan ketika itu, tambah Azmin.

Sebab itu, apabila kerajaan baharu ambil alih, kerajaan mengambil kira rosot nilai aset yang dilaburkan pentadbiran lama dan mengambil maklum bahawa kerugian berjumlah RM6.3 bilion.

Azmin turut mempertahankan keputusan kerajaan melupuskan 16 peratus pegangan Khazanah dalam IHH Healthcare Bhd (IHH) kepada Mitsui & Co Ltd, pada premium 20 peratus bagi setiap unit saham.

Harga pasaran IHH adalah RM5 dan Khazanah menjual RM6 kepada Mitsui dari Jepun yang juga rakan kongsi strategik IHH.

"Aset yang kita jual bagi mendapatkan nilai terbaik kepada aset itu dan tidak mengalami kerugian. Tujuannya adalah membayar hutang yang terpaksa kami tanggung kerana ketua Yang Berhormat sebelum ini (merujuk Najib)," katanya.

Menjawab soalan asal Ahmad mengenai prestasi kewangan Khazanah dan jumlah pelupusan saham, aset serta kepentingan yang dibuat sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, Mohamed Azmin berkata, selepas lebih kurang setahun di bawah PH, Khazanah berjaya mengurangkan hutangnya sebanyak RM8 bilion, daripada RM55 bilion kepada RM47 bilion, hasil pelupusan aset pada 2018 dan 2019.

"Jumlah hutang dijangka terus dikurangkan kepada RM35 bilion dalam tempoh jangka sederhana," katanya.

Sejak Mei 2018 hingga Jun 2019, Khazanah melaksanakan pelupusan aset berjumlah kira-kira RM18.8 bilion iaitu RM3.2 bilion (Mei hingga Disember 2018) dan RM15.6 bilion (Jun hingga Jun 2019).

Berita Harian X