Rabu, 9 Oktober 2019 | 9:59pm

MPC, pihak berkepentingan adakan rundingan awam garis panduan STRA

KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan beberapa pihak berkepentingan mengadakan rundingan awam mengenai draf garis panduan pengawalseliaan aktiviti Penginapan Kediaman Jangka Pendek (STRA) menerusi platform digital termasuk Airbnb, Agoda dan Booking.com.

Garis panduan itu adalah kerjasama antara kumpulan kerja teknikal dipengerusikan bersama oleh Jabatan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan dikendalikan oleh MPC dan beberapa pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Draf garis panduan itu merangkumi enam komponen iaitu pelesenan hos dan ejen, pelesenan platform, bilangan hari operasi SPRA, keperluan keselamatan kebakaran, pengurusan perkara tidak disenangi awam serta pencukaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata cadangan garis panduan itu bertujuan menjadi rujukan pihak berkepentingan utama seperti hos dan ejen, penyedia platform, pengawal selia dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Garis panduan itu adalah bagi meningkatkan produktiviti, pertumbuhan ekonomi, inovasi dan daya saing dalam ruang ini tanpa berkompromi aspek objektif pengawalseliaan seperti memastikan keselamatan, jaminan, kesihatan, kesejahteraan dan kebajikan awam.

“Ini adalah masa terbaik untuk sektor awam dan swasta serta pihak yang berminat untuk menyalurkan maklum balas dan komen mengenai draf garis panduan STRA itu,” katanya.

Draf itu boleh dilayari menerusi upc.mpc.gov.my manakala tarikh tutup bagi mengemukakan maklum balas adalah pada 30 November ini. – BERNAMA

Berita Harian X