Rabu, 9 Oktober 2019 | 9:26pm
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersalaman dengan H.E. Filippo Grandi, High Commissioner of the United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) di Geneva . - Foto BERNAMA

Malaysia perlu cekap uruskan pelarian agar tidak bebankan negara

KUALA LUMPUR: Malaysia harus menguruskan pelarian secara betul atau ia akan membebankan negara pada masa depan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, negara sedang menghadapi masalah kemasukan pelarian dan pengurusan yang betul adalah perlu agar ia tidak membebankan negara.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), Filippo Grandhi di Geneva, di sini.

Antara lain, pertemuan yang berlangsung selama 45 minit itu membincangkan mengenai kerjasama antara Malaysia dan badan dunia itu dalam pelbagai aspek pengurusan pelarian.

Antara komitmen UNHCR adalah untuk membantu Malaysia dalam mendapatkan sebahagian dari Qatar Development Fund yang boleh digunakan untuk mengurangkan beban negara menguruskan pelarian.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin turut menegaskan bahawa terdapat keperluan penglibatan pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam proses pemberian status pelarian yang dilaksanakan selama ini oleh UNHCR.

Keseluruhannya, terdapat kira-kira 180,000 pelarian dari pelbagai negara di Malaysia.

Muhyiddin dijangka akan mengadakan mesyuarat intra-agensi selepas kembali ke tanah air bagi meneliti soal pengurusan pelarian di Malaysia.

Antara agensi terbabit ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen.– BERNAMA

Berita Harian X