Rabu, 9 Oktober 2019 | 9:21pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang media pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

RUU Perlindungan Penderma Makanan 2019 lulus

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat malam ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Penderma Makanan 2019.

RUU berkenaan diluluskan selepas dibahaskan kira-kira empat jam oleh 28 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, RUU itu dibentangkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Fasal yang dicadangkan di bawah RUU itu adalah mengecualikan liabiliti sivil seseorang penderma makanan daripada apa-apa kecederaan diri atau penyakit yang dideritai oleh mana-mana orang atau kematian mana-mana orang yang diakibatkan daripada pengambilan makanan yang diderma atau diedar penderma makanan.

Bagaimanapun, ia tidak terpakai jika boleh dibuktikan bahawa ia disebabkan kecuaian atau salah laku oleh penderma makanan, penderma makanan tidak mematuhi peraturan keselamatan dan kebersihan makanan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, selain makanan itu tidak selamat dimakan pada masa didermakan dan pendermaan tidak dilakukan dengan suci hati.

RUU itu akan menggalakkan orang awam untuk menderma tanpa berasa takut dan bimbang jika disaman.

"Selain itu, kementerian juga boleh mengeluarkan garis panduan sebagai panduan dan rujukan rakan strategik kementerian, pihak industri dan orang awam untuk menderma lebihan makanan terutama di bawah Food Bank Malaysia.

"Kementerian ini akan memastikan setiap penderma makanan mengikuti piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dalam mengendalikan makanan mengikut undang-udang sedia ada. Dengan prosedur operasi standard (SOP) ini, makanan yang dikendalikan selamat dimakan," katanya.

Selain mewujudkan perundangan terperinci bagi melindungi dan memberi keyakinan kepada industri dan penderma makanan, RUU itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran untuk mengurangkan pembaziran makanan dan meningkatkan pengurusan lebihan makanan secara sistematik.

"RUU ini juga selaras dengan Dasar Sisa Pepejal Negara 2016 untuk mengurangkan sisa pepejal dan mengoptimumkan penggunaan sumber serta membantu usaha kerajaan mengurangkan impak alam sekitar," katanya.

Apabila RUU ini berkuat kuasa, kementerian menyasarkan peningkatan 20 peratus sumbangan makanan dengan mengambil kira pengalaman negara yang sudah melaksanakannya.

Sementara itu, ketika sesi penggulungan RUU itu, Saifuddin berkata, daripada aspek pelanggaran peraturan berkaitan, setakat ini program itu dilaksanakan dengan baik.

"Bagi memastikan kelangsungan program ini, bekalan tidak boleh terputus. Setakat ini, jika terputus bekalan bukan penderma tidak bagi, tetapi pengurusan tidak memaklumkan bekalan sudah habis," katanya.

BH pada Mac lalu melaporkan mengenai pelajar institusi pengajian tinggi terutama daripada keluarga B40 yang terpaksa ikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari akibat kekangan kewangan.

Susulan laporan itu, Kementerian Kewangan meluluskan dana RM3 juta kepada program Food Bank Malaysia untuk menyediakan 14 lori dilengkapi pendingin. Food Bank Malaysia dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengedarkan makanan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), termasuk pelajar universiti awam.

Berita Harian X