Rabu, 9 Oktober 2019 | 8:06pm
VIRAL surat jawapan daripada Jabatan Pendidikan Perak terhadap permohonan SPR untuk memohon kebenaran lawatan awal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi di negeri ini.

Tiada pilihan raya negeri di Perak

IPOH: Kerajaan Perak menafikan pilihan raya negeri (PRN) bakal diadakan tidak lama lagi berikutan penyebaran surat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan lawatan awal ke sekolah sebagai pusat mengundi dalam tempoh tiga bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, berkata sehingga kini kerajaan negeri belum dapat memastikan kesahihan surat berkenaan yang viral dalam media sosial.

“Sekiranya surat itu adalah benar, pihak kerajaan negeri dimaklumkan bahawa lawatan awal tapak yang dibuat adalah amalan biasa pihak Pejabat Pilihan Raya Negeri atas urusan rasmi mereka.

“Penafsiran terhadap surat itu dengan mengatakan pilihan raya negeri bakal diadakan adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini, viral surat jawapan daripada Jabatan Pendidikan Perak terhadap permohonan SPR untuk memohon kebenaran lawatan awal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi di negeri ini.

Dalam surat itu menyatakan jabatan berkenaan tiada halangan terhadap SPR untuk berurusan dengan sekolah-sekolah dalam masa antara 8 pagi hingga 5 petang sepanjang tempoh 1 September lalu sehingga 30 November ini.

Hasnul menegaskan, kerajaan Perak memandang serius akan penularan berita tidak benar itu dan akan mengambil tindakan susulan terhadap perkara berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan, Zul Fikri Zamir, berkata apabila jabatan pendidikan negeri menerima surat permohonan daripada agensi kerajaan atau swasta untuk masuk ke sekolah, maka jabatan itu akan menjawab surat permohonan itu sebagai `tiada halangan’ dengan syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, ia adalah prosedur kebenaran masuk ke sekolah oleh agensi kerajaan dan swasta.

“Lawatan Pejabat SPR ke sekolah adalah bidang tugas rasmi SPR sendiri.

“JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) telah mengikut prosedur yang betul dengan memberi kebenaran kepada pihak SPR dan pihak SPR juga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah supaya lawatan pihak SPR dapat berjalan lancar dan mendapat kebenaran dari Pengetua atau Guru Besar pula,” katanya.

Berita Harian X