Rabu, 9 Oktober 2019 | 6:20pm
MOHAMED Hanipa Maidin

Dewan Rakyat sekali lagi mansuh Akta Antiberita Tidak Benar 2018

KUALA LUMPUR: Selepas setahun ditolak Dewan Negara, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sekali lagi dimansuhkan di Dewan Rakyat hari ini.

Pemansuhan itu dibuat apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 hasil undian belah bahagi selepas dibahas 25 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Menerusi undian itu, seramai 92 ahli Parlimen bersetuju supaya akta terbabit dimansuhkan manakala 51 lagi tidak bersetuju.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata pemansuhan itu dibuat kerana undang-undang dan akta sedia ada memadai untuk mendakwa mana-mana pihak yang membuat berita palsu bertujuan memfitnah.

"Pemansuhan akta itu sesuai bagi menghapuskan akta yang menzalimi rakyat," katanya menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Mohamed Hanipa gagal menghabiskan sesi penggulungan itu selepas diarahkan Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon supaya segera merumuskan jawapannya.

Arahan itu terpaksa dibuat selepas Mohamed Hanipa dalam jawapannya dikatakan banyak mengeluarkan kenyataan provokasi terhadap pembangkang terutama apabila mengeluarkan kenyataan seksis terhadap Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-UMNO Pengerang).

"Pengerang kata saya nampak kadang-kadang kurus kadang-kadang gemuk, macam Pengerang kadang-kadang nampak perempuan, kadang-kadang nampak macam lelaki," kata Mohamed Hanipa.

Mohd Rashid turut mengarahkan Mohamed Hanipa menarik balik kenyataan terbabit dan memohon maaf terhadap Azalina. Mohamed Hanipa kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Parlimen pada 27 Mac tahun lalu, sebelum diluluskan pada 2 April tahun sama, dengan pindaan terhadap hukuman penjara daripada maksimum 10 tahun kepada enam tahun.

Akta itu bagaimanapun dimansuhkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Pemansuhan itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos tahun lalu menerusi Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

Bagaimanapun, persidangan Dewan Negara pada 12 September tahun lalu pula menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 anggota dewan tidak menyokong pemansuhan akta itu berbanding 21 yang menyokong, manakala tiga yang lain memilih untuk tidak mengundi.

Berita Harian X