Rabu, 9 Oktober 2019 | 5:12pm
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyampaikan anugerah kepada penerima ketika majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 & Jasamu Dikenang 2019 di Putrajaya, turut kelihatan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob bergambar bersamapenerima-penerima anugerah ketika majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 & Jasamu Dikenang 2019 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Program Persarjanaan Diplomat kepada pegawai Wisma Putra - Saifuddin

PUTRAJAYA: Kementerian Luar akan memulakan Program Persarjanaan Diplomat bermula awal tahun depan bagi melahirkan pegawai pakar.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata program itu yang akan dijalankan secara sambilan, pelengkap kepada rancangan biasiswa sedia ada.

“Lazimnya pegawai akan mengikuti kursus di luar negeri atas tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi biasiswa JPA untuk lepasan ijazah semakin berkurangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Jasamu Dikenang 2019 di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, kementeriannya mahu menggalakkan lebih ramai pegawai memiliki ijazah Doktor Kehormat, Doktor Falsafah (PhD) dan sarjana.

Justeru, program itu akan dijalankan secara bekerjasama dengan universiti penyelidikan tempatan dalam bidang tertentu.

“Tahun depan kita akan memulakan dengan Pengajian Cina, Pengajian India, Pengajian Timur Tengah dan Pengajian Maritim.

“Ini antara empat bidang yang memang menjadi tumpuan utama selain bidang lain,” katanya.

Difahamkan terdapat lima universiti penyelidikan di Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Berita Harian X