Rabu, 9 Oktober 2019 | 8:17am
Mekanisme pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk semua murid sekolah rendah yang dirancang bermula tahun depan, antara tumpuan utama sidang Dewan Rakyat hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Program sarapan percuma, jual MyKad antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Mekanisme pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk semua murid sekolah rendah yang dirancang bermula tahun depan, antara tumpuan utama sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam aturan mesyuarat yang dikeluarkan laman web Parlimen, ia dibangkitkan pada soalan kedua sewaktu sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan oleh Sabri Azit (PAS-Jerai) yang meminta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu.

Selain itu, turut dijangka menghangatkan persidangan ialah penjelasan berhubung langkah kerajaan berkaitan ketirisan dan unsur rasuah pada pemberian kontrak dan pengagihan permit kelulusan AP yang dibangkitkan Pang Hok Liong (PH-Labis) kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dalam pada itu, turut dijangka mencuri perhatian soalan daripada Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan jika terdapat keperluan untuk mengubah sistem dan operasi sedia ada bagi permohonan Mykad sebagai satu langkah mengelakkan kes penjualan kad pengenalan kepada warga asing berulang.

Usai sesi itu, tumpuan dijangka terarah pula pada perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 selepas dibentangkan kali pertama semalam.

Ini percubaan kali kedua kerajaan membentangkan rang undang-undang itu selepas ia ditolak Dewan Negara pada September lalu sekalipun diluluskan Dewan Rakyat.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember. – BERNAMA

Berita Harian X