Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:35pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

PRH diperluas tangani kesesakan wad hospital

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani masalah kesesakan di wad hospital kerajaan, antaranya memperluaskan perkhidmatan rawatan harian (PRH).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata menerusi PRH, perkhidmatan klinikal disempurnakan dalam hari yang sama dan berjaya mengurangkan kemasukan pesakit di wad sebanyak 28.2 peratus.

"Kementerian turut melaksanakan inisiatif Hospital Kluster yang menjadi kerjasama antara hospital pakar dengan hospital tanpa pakar bagi membolehkan pesakit luar bandar menerima rawatan pakar tanpa perlu dirujuk ke hospital pakar.

"Selain itu, kita mewujudkan unit pengurusan katil (BMU) dengan merancang kemasukan pesakit elektif serta memastikan pesakit yang memerlukan katil dapat diutamakan dengan segera," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-BERSATU Tanah Merah) berhubung usaha kerajaan mengatasi masalah kesesakan di wad hospital kerajaan.

"Pembangunan hospital baru dan hospital gantian antara langkah yang diambil bagi mengatasi masalah kesesakan di wad hospital kerajaan.

"Bagaimanapun, bagi melaksanakan langkah ini, isu perjawatan perlu diambil kira mengikut keperluan semasa bagi meningkatkan keupayaan fasiliti kesihatan kementerian," katanya.

Justeru, beliau berkata, kementerian sudah mengemukakan permohonan peruntukan dan perjawatan kepada agensi berkaitan bagi menangani keperluan fasiliti baharu serta yang sedang dinaik taraf.

Berita Harian X