Isnin, 7 Oktober 2019 | 8:27am
PRESIDEN Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan.
PRESIDEN Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan.

Belanjawan 2020: Insentif dapat bantu IKS aplikasi teknologi automasi, robotik

KUALA LUMPUR: Kerajaan disyorkan menekankan bantuan kewangan serta insentif kepada industri kecil dan sederhana (IKS), dalam membantu mereka mengubah cara operasi kerja dengan memperkenalkan teknologi automasi dan robotik.

Presiden Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata kira-kira 98 peratus atau 980,000 IKS di negara ini dikategorikan dalam kumpulan itu dan majoritinya mempunyai sumber kewangan terhad.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting mereka dibantu memperluaskan keupayaan penggunaan teknologi automasi dan robotik, kerana ia dapat meningkatkan produktiviti dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka.

“Seiring itu juga, majikan perlu menyediakan peluang kemahiran kepada pekerja, bagi memastikan kemahiran dan skil mereka relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Shamsuddin berkata masalah graduan baharu yang menganggur dan bekerja tidak setara dengan kelayakan akademik perlu ditangani, dengan institusi pengajian menjalankan tanggungjawab sosial mereka untuk memperkenalkan pensijilan kursus dalam tempoh yang pendek, bagi melengkapkan kemahiran terkini.

“Insentif seperti pelepasan cukai kepada majikan yang mempunyai kemahuan untuk ‘menggaji’ graduan baharu juga perlu, kerana ia dapat menarik lebih ramai majikan menawarkan peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Mursyid Arshad pula berharap kerajaan dan pemegang taruh menyediakan pentas berkaitan pekerjaan digital untuk graduan meneroka dan mencipta peluang pekerja dalam bidang itu.

Beliau berkata pekerjaan sektor digital seperti media sosial Facebook, kini menjadi satu cabang perniagaan yang menjanjikan pendapatan lumayan.

“Kelompok belia menganggur yang paling tinggi adalah lepasan universiti, mereka ini bukan tidak cukup kemahiran atau tidak kompeten, tapi peluang pekerjaan sedikit dan persaingan yang besar.

“Sebab itulah disarankan supaya lebih ramai pemegang taruh menyediakan pentas berasaskan digital untuk graduan meneroka bidang itu, tanpa perlu mencari kerja makan gaji semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, berpendapat peluang pekerjaan akan bertambah sekiranya ekonomi negara berkembang dengan kemasukan pelaburan dalam dan luar negara.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mencari jalan untuk menarik pelabur, dengan mewujudkan program-program baharu dan menarik dalam struktur ekonomi negara.

“Jadi, kerajaan perlu ada ‘stimulate’ (penjana) dan insentif baharu yang boleh mengekalkan dan menggalakkan pelabur, sekali gus menambah peluang pekerjaan selari dengan perkembangan ekonomi,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X