Ahad, 6 Oktober 2019 | 2:21pm
Dr Mahathir menerima resolusi Kongres Maruah Melayu daripada pelajar UiTM Shah Alam, Hood Yahya (tiga dari kanan) sempena Kongres Maruah Melayu, di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Sadam Yusoff
Dr Mahathir menerima resolusi Kongres Maruah Melayu daripada pelajar UiTM Shah Alam, Hood Yahya (tiga dari kanan) sempena Kongres Maruah Melayu, di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Sadam Yusoff

Tanah Kampung Baru bukan untuk dijual kepada individu, pihak luar - Tun M

SHAH ALAM: Tanah Kampung Baru di tengah-tengah ibu negara, bukan untuk dijual kepada individu atau pihak luar, sebaliknya kepada agensi kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, agensi kerajaan itu berperanan membantu pemilik tanah untuk membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri-ciri asal tanah Melayu di kawasan terbabit.

“Tanah Kampung Baru dulu adalah tanah pertanian, tetapi tanah ini sekarang hanya sesuai untuk berniaga. Namun, mereka (pemilik tanah) tidak mempunyai cukup wang untuk membangunkan kawasan itu.

“Jika kita lihat, masih ada rumah lama berbumbung zink serta berkarat. Keadaan ini tidak mencerminkan kedudukan orang Melayu itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat sempena Kongres Maruah Melayu, di sini hari ini.

Katanya, keadaan semasa di kawasan penempatan terbabit seperti ‘kudis’ di tengah bandar yang pesat serta dikelilingi bangunan pencakar langit.

Pada 2014, satu pelan induk pembangunan Kampung Baru dibentang, tetapi proses pelaksanaannya dikatakan sangat perlahan, menyebabkan pelan berkenaan dirombak selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara, tahun lalu.

Pelan baharu membabitkan perancangan ke atas 121.4 hektar tanah, termasuk 32.37 hektar di luar pentadbiran Lembaga Tanah Pertanian Melayu (MAS).

Ada tujuh kampung di Kampung Baru di bawah bidang kuasa MAS, tiga lagi di luar kawasan yang menjadi tumpuan pelan pembangunan Perbadanan Kampung Baru (PKB).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pada majlis penerangan mengenai pembangunan Kampung Baru pada 21 September lalu, mengumumkan tawaran harga RM850 setiap kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi.

Beliau juga dilapor memberi jaminan, kerajaan akan memastikan tanah berkenaan tidak dibuka kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas, seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.

Tumpuan pembangunan Kampung Baru yang dirancang, meliputi 70 peratus perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim dilaporkan berkata, tawaran harga oleh kerajaan itu menimbulkan persoalan kerana nilai semasa tanah di situ dipercayai lebih RM2,000 sekaki persegi.

Berita Harian X