Sabtu, 5 Oktober 2019 | 6:57pm
KARTUNIS terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat hari dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Anugerah Seni oleh Universiti Taylor’s, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mustaffa Kamal
KARTUNIS terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat hari dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Anugerah Seni oleh Universiti Taylor’s, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mustaffa Kamal

Lat dianugerah Doktor Kehormat dari Universiti Taylor's

KUALA LUMPUR : Kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat hari dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Anugerah Seni oleh Universiti Taylor’s, di sini, hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor merangkap Presiden Universiti Taylor’s, Prof Michael Driscoll kepada Lat dalam Majlis Konvokesyen ke-19 universiti berkenaan.

Penganugerahan itu adalah penghormatan ke-10 dalam majlis itu sebagai penghargaan atas sumbangan Lat terhadap pembangunan genre seni visual di tanah air.

Prof Driscoll berkata, tidak dapat dinafikan Lat meninggalkan impak kepada rakyat negara ini selain ketelitian kerjanya amat dikagumi.

“Lat berjaya menyampaikan pandangan terhadap kepelbagaian budaya menerusi lukisan hitam dan putihnya.

“Beliau juga adalah ikon budaya Malaysia dan kami berharap karyanya akan terus memberi impak kepada rakyat pada tahun-tahun berikutnya,” katanya.

Tambah beliau, sebagai seorang kartunis terkenal dengan karyanya seperti Kampong Boy, Lat setakat ini sudah menerima penghormatan sedemikian kali keempat, termasuk daripada Universiti Taylor’s.

“Saya gembira kerana banyak universiti di negara ini sudah menyedari impak dan kepentingan seni grafik dan visual.

“Kampung Boy adalah cara saya untuk kembali ke zaman kanak-kanak dan berkongsi perasaan itu dengan dunia, saya juga berharap anak-anak muda dari seluruh negara turut berbuat demikian untuk mengetahui lebih lanjut tentang gaya hidup seseorang, contohnya dari Melaka atau Sabah.

“Ini kali kedua Universiti Taylor’s memberikan anugerah penghormatan kepada tokoh dalam industri seni. Tahun lepas, kami memberikan Doktor Kehormat dalam Anugerah Seni kepada Datuk Faridah Merican untuk usaha beliau dalam memupuk minat bidang teater di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Lat ketika dihubungi BH meluahkan kesyukuran di atas penghargaan universiti berkenaan dalam menilai sumbangannya menaikkan identiti kebudayaan Malaysia menerusi seni lukisan.

“Saya berharap ini memberi inspirasi kepada pelukis muda untuk menghasilkan lebih banyak karya berasaskan identiti negara sendiri yang unik dan berbudaya sekali gus menaikkan martabat negara di peringkat dunia.

“Jangan pandang seni lukis sebagai hiburan semata-mata kerana di negara maju seperti Jepun dan Eropah sudah berdekad lamanya menyampaikan mesej pendidikan, keselamatan, kesihatan dan pencegahan jenayah menerusi seni lukis tanpa tulisan.

“Pembabitan saya secara aktif dalam bidang komik dan lukisan ini sudah melebihi 55 tahun, penghasilan karya adalah berdasarkan pengamatan terhadap kehidupan rakyat berbilang kaum dan saya akan terus berkarya untuk rakyat selagi kudrat masih ada,” katanya.

Berita Harian X