Jumaat, 4 Oktober 2019 | 8:45pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Wawasan Kemakmuran Bersama suntik lonjakan ekonomi

KUALA LUMPUR: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan memberi suntikan baharu supaya ekonomi Malaysia melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi, di samping memperkasa kuasa beli rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata wawasan yang dilancarkan esok, turut bertujuan merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah.

“Ia akan memacu pembangunan negara secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif buat semua rakyat Malaysia ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat perang perdagangan.

“Wawasan ini akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan dan menyuburkan perpaduan dalam kalangan rakyat serta memantapkan kestabilan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, wawasan yang dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu adalah satu paradigma yang akan memandu pembangunan sosioekonomi negara sehingga 2030.

Mohamed Azmin berkata, keindahan Wawasan Kemakmuran Bersama akan menyerlah apabila jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang.

“Walhasil, Wawasan Kemakmuran Bersama adalah fajar yang terbit dalam era Malaysia Baharu demi menjamin pembelaan dan mengangkat martabat rakyat,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X