X
Jumaat, 4 Oktober 2019 | 8:42pm
TAN Sri Lee Lam Thye.
TAN Sri Lee Lam Thye.

Lam Thye sambut baik agenda laluan motosikal dalam RMK-12

KUALA LUMPUR: Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye menyambut baik gesaan pembinaan laluan motosikal di seluruh negara dijadikan antara agenda dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang bermula pada 2021.

Lam Thye yang senada dengan cadangan yang dibuat oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang dalam ruangannya di sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini berkata, laluan motosikal amat diperlukan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Oleh kerana ketiadaan banyak laluan motosikal, penunggang motosikal terpaksa berkongsi laluan dengan kenderaan yang lebih besar. Itulah sebab sehingga 60 peratus kemalangan jalan raya membabitkan motosikal.

“Ada juga penunggang motosikal yang tidak mahu guna laluan motosikal sedia ada kerana jalannya didapati tidak rata dan berlubang manakala lampu di laluan itu tidak berfungsi pada waktu malam, jadi penting untuk kerajaan mengutamakan aspek penyelenggaraan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan dalam membantu mengurangkan kemalangan jalan raya dan penunggang motosikal dinasihatkan supaya mematuhi had kelajuan yang ditetapkan.

Azman, yang juga menganggotai Safety First Group, satu kumpulan besar komuniti WhatsApp, telah mengutarakan kepada masyarakat dan pihak berkuasa akan nasib penunggang motosikal khasnya ‘kapcai’ yang mendominasi statistik kematian dan kecederaan di jalan raya.

Dalam ruangannya hari ini, Azman berkata, walaupun tiada laluan seperti itu untuk seluruh negara difikirkan dalam 11 Rancangan Malaysia yang lepas biarpun purata 13 ke 14 kematian sehari daripada 4,700 penunggang motosikal setahun, Safety First Group, sebagai contoh berdoa bersungguh-sungguh agar laluan seperti itu menjadi satu kenyataan dalam RMK-12. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X