Jumaat, 4 Oktober 2019 | 8:35pm
KETUA Pegawai Eksekutif Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) Peter Schiesser. NSTP/Asyraf Hamzah.
KETUA Pegawai Eksekutif Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) Peter Schiesser. NSTP/Asyraf Hamzah.

DuitNow daftar lebih 7.5 juta pelanggan

PETALING JAYA: Lebih 7.5 juta pelanggan sudah berdaftar menggunakan perkhidmatan pembayaran elektronik, DuitNow, sejak kemudahan itu dilancarkan 10 bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) Peter Schiesser, berkata transaksi bulanan DuitNow juga menyaksikan pertumbuhan 5.8 kali antara Januari hingga September tahun ini.

Beliau berkata, untuk memastikan momentum itu berterusan, pihaknya turut memperkenalkan peraduan baharu yang menawarkan tiga motosikal Yamaha Y15ZR dan 80 kosmetik Borderless Alha Alfa.

Schiesser (empat dari kanan) menyampaikan replika hadiah RM20,000 IKEA kepada pemenang semasa pengumuman Peraduan Pelancaran DuitNow di IKEA Damansara. NSTP/Asyraf Hamzah.
Schiesser (empat dari kanan) menyampaikan replika hadiah RM20,000 IKEA kepada pemenang semasa pengumuman Peraduan Pelancaran DuitNow di IKEA Damansara. NSTP/Asyraf Hamzah.

“Peraduan ini berlangsung 22 September lalu sehingga 31 Oktober ini dengan setiap pelanggan layak menyertai peraduan ini apabila mereka memindahkan wang menggunakan DuitNow.

“Kami menggalakkan lebih ramai rakyat negara ini menggunakan kemudahan DuitNow sambil merebut peluang hadiah menarik yang ditawarkan,” katanya berucap pada majlis penyampaian hadiah pemenang Peraduan Pelancaran DuitNow di sini, petang ini.

Peraduan sempena pelancaran itu berlangsung selama lima bulan bermula 8 Januari dan berakhir pada 31 Mei lalu.

Seramai lima pemenang bertuah berjaya membawa pulang kad Gift IKEA masing-masing bernilai RM20,000.

Empat daripada pemenang bertuah itu terdairi daripada pelanggan Maybank iaitu Wong Chieh Yie; Muhammad Nor Farid; Chan Pui Fan dan Chan Hing Fatt serta seorang pelanggan OCBC Bank iaitu Thang Yit Soon.

Peraduan Pelancaran DuitNow turut menawarkan hadiah lumayan iaitu rumah bernilai RM1 juta; wang tunai berjumlah RM1 juta; pakej percutian Malaysia Airlines (RM100,000); kereta Mercedes-Benz GLC200 dan A200 serta lima kad Gift IKEA bernilai RM20,000.

DuitNow adalah perkhidmatan yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang secara serta-merta dan selamat dengan menggunakan nombor telefon bimbit penerima.

Sejak pelancaran secara rasmi di Malaysia, kemudahan DuitNow kini boleh digunakan menerusi pelbagai bank di seluruh negara.

Berita Harian X