Jumaat, 4 Oktober 2019 | 7:11pm
PETER Schiesser. - Foto Asyraf Hamzah
PETER Schiesser. - Foto Asyraf Hamzah

7.5 juta pelanggan berdaftar DuitNow

PETALING JAYA: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) merekodkan lebih 7.5 juta pelanggan berdaftar dengan DuitNow sejak perkhidmatan pembayaran elektronik itu diperkenalkan 10 bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Schiesser, berkata transaksi bulanan DuitNow juga menyaksikan pertumbuhan 5.8 kali antara Januari hingga September tahun ini.

Beliau berkata untuk memastikan momentum itu berterusan, pihaknya turut memperkenalkan peraduan baharu yang menawarkan tiga motosikal Yamaha Y15ZR dan 80 kosmetik Borderless Alha Alfa.

“Peraduan ini berlangsung 22 September lalu sehingga 31 Oktober ini dan setiap pelanggan layak untuk menyertainya apabila mereka memindahkan wang menggunakan DuitNow.

“Kami menggalakkan lebih ramai rakyat di negara ini menggunakan kemudahan DuitNow dan rebut peluang hadiah menarik yang ditawarkan,” katanya berucap pada majlis penyampaian hadiah pemenang Peraduan Pelancaran DuitNow di sini, hari ini.

Peraduan berlangsung selama lima bulan bermula 8 Januari lalu itu yang berakhir pada 31 Mei lalu, menyaksikan lima pemenang bertuah membawa pulang kad Gift IKEA masing-masing bernilai RM20,000.

Empat daripada pemenang bertuah itu ialah pelanggan Maybank, Wong Chieh Yie, Muhammad Nor Farid, Chan Pui Fan, Chan Hing Fatt dan seorang pelanggan OCBC Bank iaitu Thang Yit Soon.

Peraduan Pelancaran DuitNow turut menawarkan hadiah lumayan iaitu rumah bernilai RM1 juta, wang tunai RM1 juta, pakej percutian Malaysia Airlines (RM100,000), kereta Mercedes-Benz GLC200 dan A200 serta lima kad Gift IKEA bernilai RM20,000.

DuitNow ialah perkhidmatan yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang secara serta-merta dan selamat dengan menggunakan nombor telefon bimbit penerima.

Ia dilancarkan secara rasmi di Malaysia dan boleh digunakan di pelbagai bank di seluruh negara.

Berita Harian X