Jumaat, 4 Oktober 2019 | 4:51pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Carrie Lam perlu letak jawatan - PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pemimpin eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, perlu meletak jawatan berikutan demonstrasi antikerajaan yang berlarutan sehingga sekarang dan ramalan kononnya China akan mengambil tindakan tegas terhadap penunjuk perasaan.

“Hakikatnya beliau dalam dilema, beliau perlu mematuhi tuannya dan pada masa yang sama perlu bertanya suara hatinya sendiri.

“Gerak hatinya berkata, masyarakat Hong Kong betul apabila menolak undang-undang, namun sebaliknya beliau tahu akibatnya jika menolak undang-undang berkenaan.

“Sebagai pentadbir, saya berpendapat perkara terbaik ialah letak jawatan,” katanya pada sesi soal dan jawab Persidangan Perlembagaan dan Peraturan Perundangan LAWASIA di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor.

Bantahan antikerajaan berhubung cadangan ekstradisi undang-undang menggegarkan Hong Kong sejak Jun lalu walaupun rang undang-undang itu sudah dibatalkan.

Cadangan pindaan undang-undang itu akan membenarkan ekstradisi berbalik kepada undang-undang yang mana Hong Kong mempunyai kelemahan dalam urusan ekstradisi termasuk tanah besar China. – BERNAMA

Berita Harian X