Jumaat, 4 Oktober 2019 | 10:49am

Mycar hadapi keadaan sukar akibat cengkaman monopoli

KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan e-hailing, MyCar, mengakui berhadapan dengan keadaan sukar untuk mendapatkan sambutan daripada pemandu berikutan cengkaman monopoli dalam industri terbabit.

Berikutan itu, MyCar menyambut baik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail, mengenai Grab berhubung monopoli industri e-hailing.

“Walaupun kami sedaya upaya membuat promosi, disebabkan cengkaman monopoli, tempahan berpuluh ribu daripada pengguna MyCar dibiarkan saja daripada pihak pemandu.

“Ini disebabkan mereka takut dikenakan tindakan penutupan akaun oleh pesaing yang mencengkam monopoli terbabit.

“Perkara ini berlaku kerana pemandu aplikasi yang memonopoli itu wajib ambil tempahan terbabit dan bukan lagi ditawarkan pilihan untuk ambil tempahan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata aplikasi lain yang ada di dalam telefon pintar pemandu terbabit akan diabaikan begitu saja kerana mereka wajib untuk mengambil tempahan aplikasi monopoli itu.

“Akaun pemandu terbabit juga akan digantung malahan sehingga ada yang ditamatkan oleh syarikat berkenaan jika tidak mengambil tempahan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata MyCar juga memohon agar kerajaan tidak membenarkan mana-mana aplikasi e-hailing membenarkan fungsi ‘Wajib Terima’ (Auto Accept) kerana ini akan membuka ruang penindasan kepada pemandu dan menambah risiko monopoli oleh syarikat terbabit.

“MyCar sebagai aplikasi mesra pemandu akan menurunkan pengambilan komisen tempahan daripada pihak pemandu dari 15 peratus kepada sembilan peratus untuk pemandu e-hailing MyCar yang mempunyai Permit Kenderaan Elektronik MyCar (EVP) dengan syarat memasang pelekat kenderaan MyCar.

“MyCar selaku aplikasi kedua terbesar di Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan di seluruh Malaysia dengan mempunyai permit berlesen (EVP) sebanyak 10,000 untuk kenderaan persendirian dan 15,500 untuk EVP teksi,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan, MyCC mencadang syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab didenda RM86,772,943.76 kerana amalan menindas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail, berkata Grab turut dikenakan denda kewangan harian sebanyak RM15,000 bermula kelmarin, sekiranya syarikat itu gagal mengambil tindakan pembetulan seperti diarahkan MyCC bagi menangani isu persaingan berkaitan.

Katanya, MyCC mendapati Grab melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 secara kolektif kerana syarikat itu didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui beberapa klausa yang membataskan pemandunya.

Berita Harian X