Khamis, 3 Oktober 2019 | 6:52pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan buku DKKA pada Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Strategi PRK Tanjung Piai ambil kira kekalahan lalu - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengatur strategi dan gerak kempen menyeluruh bagi menjelaskan pelbagai isu kepada rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya menerima banyak maklum balas dan melakukan kaji semula susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih lalu.

“Kita mengambil kira pengalaman lalu dan di Tanjung Piai kita akan atur strategi serta gerak kerja kempen lebih menyeluruh untuk menjelaskan isu tidak difahami rakyat.

“Dalam tempoh beberapa bulan lalu, banyak perkara berbangkit menjadi tular di media sosial yang tidak diperjelaskan.

“Kali ini, kita akan jelaskan sebaik-baiknya kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November manakala penamaan calon pada 2 November.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

Muhyiddin berkata, BERSATU akan menentukan senarai calon yang layak dan boleh diterima pengundi.

“Kita akan memperhalusi sebaik mungkin calon yang dipilih dan pastinya yang diterima pengundi Tanjung Piai.

“Banyak nama akan dilihat tetapi pastinya seorang sahaja bertanding. Kita ada sebulan lagi.

“Esok saya akan berada di Muar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) untuk menyusun struktur penting yang menentukan keberkesanan strategi.

“Malam esok, saya akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya peringkat pusat bagi membincangkan secara teliti apa yang harus dilaksanakan untuk mencapai kemenangan di Tanjung Piai.

“Kalau ikut dasar PH sedia ada, kerusi ditandingi mana-mana parti kekal. Tanjung Piai ditandingi BERSATU, maka saya percaya ia kekal begitu,” katanya.

Mengulas mengenai DKKA, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang dipengerusikannya ditubuhkan sebagai mekanisme pemantauan supaya semua objektif dalam setiap teras dan strategi dasar itu dapat dicapai.

“Jawatankuasa peringkat tertinggi ini bertanggungjawab menetapkan hala tuju pelaksanaan dasar dan dibantu Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri untuk menilai status kemajuan program dan aktiviti yang dilaksanakan,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X