Khamis, 3 Oktober 2019 | 4:54pm
AR Badul.
AR Badul.

Tidak perlu inkues, saya faham sekarang - AR Badul

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak veteran, AR Badul menarik balik desakan supaya inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya, pegawai komando Mejar Mohd Zahir Armaya, 4 September lalu.

Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie, 70, berubah fikiran selepas memahami kronologi kejadian itu seperti yang dijelaskan oleh pengurusan kanan Tentera Darat Malaysia (TDM), hari ini.

“Sebagai ayah, sudah tentu saya bersedih dengan kehilangan anak secara tiba-tiba hingga emosi mengatasi pertimbangan.

“Tambahan pula, ketika itu tiada mana-mana pihak membuat susulan selepas kejadian menimpa Allahyarham, kecuali apa yang dipaparkan media.

“Namun, selepas bertemu pegawai tertinggi TDM dan diberi penerangan terperinci, saya batalkan niat mahu inkues dibuat.

“Semua ini saya lakukan selepas membuat pertimbangan wajar demi kepentingan masa depan tiga cucu saya yang sudah kehilangan ayah,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Badul yang juga pengarah filem, bertemu pengurusan tertinggi TDM di sini, selama kira-kira dua jam.

Pada 26 September lalu, Badul dilaporkan mahu inkues dijalankan bagi mencari punca kematian Mohd Zahir.

Badul dilaporkan tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Siasatan TDM bahawa kematian anaknya diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan.

Isteri Mohd Zahir, Nour Shafinar Harun, dilaporkan menyerahkan kepada keluarga Allahyarham suaminya jika mahu inkues dilakukan bagi menentukan punca kematian pegawai komando itu.

Sebagai bekas anggota tentera yang berkhidmat dalam Kor Polis Tentera, Nour Shafina, 31, memahami prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan dalam memastikan keselamatan anggota tentera dalam setiap operasi.

Mohd Zahir yang juga pegawai komando, maut pada 4 September lalu ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena pelancaran penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) di Kem Kok Lawi, Sabah.

Badul berkata, apa yang diberi keutamaan ketika ini ialah masa depan tiga cucunya yang masih kecil dan seorang lagi yang bakal lahir.

“Kami sekeluarga hanya mahu memastikan kebajikan dan pendidikan anak arwah terjaga. Mereka masih terlalu kecil untuk memahami keadaan ini.

“Buat masa ini, menantu saya dan anak-anaknya sudah berpindah ke Pekan, Pahang, berhampiran kediaman seorang kakaknya.

“Terbaru, saya berjumpa cucu pada majlis tahlil di Shah Alam pada 26 September lalu. Alhamdulillah, semua sihat,” katanya.

Mohd Zahir meninggalkan seorang balu yang hamil dua bulan dan tiga cahaya mata termasuk dua daripada hasil perkahwinan terdahulu.

Berita Harian X