Khamis, 3 Oktober 2019 | 4:02pm
MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - Foto L Manimaran
MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - Foto L Manimaran

Jangan persenda, pertikai lagu Negaraku

KUCHING: Lagu Negaraku tidak perlu ditukar hanya kerana beberapa pihak mempertikaikan keasliannya, tegas Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, lagu Negaraku juga sudah dipersetujui digunakan semua negeri, termasuk Sarawak ketika menyertai Malaysia pada 1963, dan ia adalah identiti negara dan bukannya sesuatu yang boleh ditukar sewenangnya, seperti lagu-lagu hiburan.

“Kalau lagu kebangsaan (Negaraku) itu sudah diterima, kita akur dan kita hormati lagu itu. Janganlah dipersendakan dengan mengatakan ia dibuat oleh orang putih dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Acara What About Kuching (WAK) Ke-3 dan Persidangan Manik Antarabangsa Borneo Ke-6, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan seperti dilapor media tempatan yang mahu lagu itu ditukar kerana kurang asli dan berasal dari rentak “Le Rosalie” ditulis ahli muzik Perancis, Pierre-Jean de Beranger.

Abdul Karim berkata, sekiranya ada pihak berasakan Sarawak tidak mendapat hak sepatutnya dalam Malaysia, ketidakpuasan hati itu perlu ditunjukkan di platform lebih sesuai bukannya dengan tidak menghormati lagu Negaraku.

“Itu boleh ditunjukkan mereka ketika pilihan raya dan bukan ditunjukkan ketika lagu Kebangsaan (Negaraku) berkumandang ataupun tidak menghormati bendera (Malaysia) yang sedang dinaikkan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X