Khamis, 3 Oktober 2019 | 1:55pm
Khalid memberi jaminan akan menemui Perdana Menteri hujung minggu ini untuk membincangkan tawaran harga lebih tinggi untuk tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur. - Arkib NSTP

Tanah Kampung Baru: Khalid akan bincang dengan PM

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, memberi jaminan akan menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hujung minggu ini untuk membincangkan tawaran harga lebih tinggi untuk tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Katanya, beliau akan menemui perdana menteri sempena pemukiman Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada hujung minggu ini di Subang Jaya.

“Dalam mesyuarat mingguan Kabinet semalam, saya sudah memaklumkan perkara itu kepada Dr Mahathir untuk bersemuka dalam satu sesi membincangkan tawaran berkenaan.

“Dr Mahathir kata tiada halangan untuk membincangkan perkara itu dan akan meluangkan masa mungkin hujung minggu ini ketika pemukiman Ahli Parlimen PH di Subang Jaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

“Saya akan cuba dapatkan 10 hingga 15 minit untuk duduk dengan Tun (Dr Mahathir) untuk berbincang supaya kita boleh memuktamadkan tawaran itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Digital Putrajaya di Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Khalid mengumumkan tawaran harga RM850 kaki persegi atau atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula atas tanah seluas 62 hektar.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim, dilaporkan berkata tawaran kerajaan itu menimbulkan persoalan kerana nilai semasa tanah itu melebihi RM2,000.

Khalid berkata, selain tawaran harga RM850 sekaki persegi, kerajaan mungkin boleh menawarkan manfaat tambahan dalam bentuk saham.

Katanya, menerusi mekanisme itu, setiap pemilik diberikan saham dalam pembangunan Kampung Baru dan sekiranya projek itu berjaya dan mencapai keuntungan, maka semua pemilik saham akan dapat manfaat.

“Kita khuatir kalau kita tawarkan satu harga yang terlalu tinggi, ia akan menjejas daya maju pembangunan Kampung Baru.

“Kita kena bertanggungjawab kerana kita kena tentukan tawaran yang dibuat munasabah dan boleh menjamin bukan sekadar keuntungan, tetapi kebolehlaksanaan dan paling penting mereka tidak rugi,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X