Rabu, 2 Oktober 2019 | 8:00pm
Keratan akhbar BH semalam.

Syor teliti prosedur pas lawatan jangka panjang

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri disaran meneliti semula prosedur membenarkan pas lawatan jangka panjang atas jaminan isteri diberikan kepada warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan.

Yang Dipertua Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah (GANNOS), Datuk Nani Sakam, berkata keistimewaan itu antara punca ramai lelaki warga asing, khususnya dari Pakistan datang ke negeri ini.

Katanya, warga asing terbabit mengambil kesempatan terhadap keistimewaan itu untuk berkahwin dengan wanita tempatan supaya dapat tinggal lama dan menjalankan perniagaan terutama kedai runcit.

“Mereka tertarik dengan kelebihan jika berkahwin dengan wanita tempatan iaitu boleh memohon pas lawatan jangka panjang atas jaminan isteri. Ia membolehkan mereka tinggal lama dan berniaga di sini.

“Sehubungan itu, kerajaan mungkin perlu mengkaji prosedur pemberian pas lawatan menerusi jaminan isteri supaya tiada lagi persepsi bahawa ia mudah diperolehi selepas berkahwin dengan wanita tempatan,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas isu warga asing khususnya dari Pakistan yang berkahwin dengan wanita tempatan termasuk dengan wanita bertaraf nenek semata-mata untuk tinggal lama dan berniaga di negeri ini.

Katanya, adalah sukar untuk menghalang warga asing berkahwin dengan wanita tempatan termasuk mengawal kegiatan mereka yang menjadikan taktik itu untuk berniaga.

Nani berkata, penguatkuasaan peraturan mengenai pengeluaran pas lawatan lebih berkesan bagi memastikan warga asing tidak menyalahguna kemudahan itu untuk tujuan lain.

“Kita tidak boleh menghalang wanita tempatan berkahwin dengan warga asing kerana mungkin lelaki Pakistan ada keistimewaan tersendiri yang menyebabkan mereka terpikat,” katanya.

Pada masa sama, katanya pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu mengetatkan peraturan berkaitan permohonan lesen berniaga yang membabitkan pasangan warga asing dan wanita tempatan.

Beliau berkata, syarat tambahan seperti perlu menunjukkan sijil perkahwinan ketika membuat permohonan bagi memastikan nama wanita terbabit tidak digunakan oleh warga asing untuk tujuan berniaga mungkin boleh dilaksanakan.

“Ini antara pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi mengawal perniagaan dikendalikan warga asing kerana masyarakat sekarang bimbang apabila semakin ramai warga Pakistan berniaga kedai runcit termasuk di kampung,” katanya.

Dalam hal berkaitan, beliau berkata wanita tempatan yang mahu berkahwin dengan warga asing perlu memastikan proses pernikahan mereka dilakukan melalui saluran yang betul dan jangan menggunakan jurunikah tidak bertauliah.

Katanya, perkahwinan seumpama itu menimbulkan masalah kepada mereka terutama dalam mendapatkan dokumen anak dan ia antara punca isu anak tanpa warga negara atau tiada dokumen pengenalan diri yang berlaku di Sabah.

Sehubungan itu, katanya kerajaan juga perlu meningkatkan aspek kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terjerumus dalam situasi seperti itu kerana ia menyebabkan masa depan anak mereka tidak menentu.

“Sekarang ada ramai yang berdepan masalah ini dan kerajaan perlu menyelesaikannya supaya anak-anak yang tiada pengenalan diri ini tidak terus terbiar,” katanya.

Berita Harian X