Rabu, 2 Oktober 2019 | 7:11pm

DPMM sedia kerjasama selesai kemelut tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) untuk mencari penyelesaian terbaik pertikaian membabitkan pembangunan tanah di Kampung Baru.

DPMM memaklumkan pembabitan pihaknya diharap dapat merungkai kemelut selain mengatasi cabaran dan halangan dihadapi pihak berkepentingan.

“Kami bersedia bekerjasama dengan pemilik dan waris tanah Kampung Baru bagi tujuan sama. DPMM sebagai organisasi Melayu, amat memahami hati nurani penduduk yang sememangnya menjadi matlamat penubuhan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan PKB dilaporkan akan memberi kerjasama jika DPMM membantu pihaknya mendapatkan tawaran membeli tanah di Kampung Baru pada harga RM2,000 sekaki persegi.

Ia susulan kenyataan Setiausaha Agung DPMM, Amirhamzah Karim, yang dilaporkan berkata tawaran kerajaan RM850 sekaki persegi untuk membeli tanah Kampung Baru menimbulkan persoalan selepas nilai semasa tanah itu dikatakan melebihi RM2,000.

Dalam pada itu, DPMM menafikan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, dilaporkan berkata kononnya pihaknya bersedia untuk membeli tanah Kampung Baru pada harga RM2,000 sekaki persegi.

Sebaliknya, katanya, ia hanya jawapan balas kepada soalan wartawan, sama ada harga RM850 sekaki persegi ditawarkan kepada penduduk Kampung Baru adalah berpatutan atau sebaliknya.

“Sebenarnya (harga RM2,000 kaki persegi) merujuk kepada saranan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa nilai tanah di Kampung Baru sepatutnya sekurang-kurangnya RM2,000 sekaki persegi, ketika menghadiri majlis bersama penduduk di kampung itu pada 2 Mac 2018.

“DPMM amat menyokong saranan (Dr Mahathir) ini dan berusaha bagi menterjemahkannya demi kepentingan pewarisan tanah Kampung Baru dalam kepunyaan orang Melayu,” katanya.

DPMM juga memaklumkan pihaknya turut mencadangkan kaedah pajakan diguna pakai sebagai alternatif untuk menyelesaikan kemelut tanah Kampung Baru.

“Namun, saranan ini langsung tak disentuh Khalid,” katanya.

Berita Harian X