Selasa, 1 Oktober 2019 | 10:55am

Tiada kes demam kuning di negara ini

KUALA LUMPUR: Tiada kes demam kuning dilaporkan setakat ini, namun Malaysia mempunyai risiko transmisi jangkitan penyakit ini disebabkan terdapatnya aedes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata virus demam kuning boleh dibawa masuk ke negara ini melalui pelawat yang tiba dari negara berisiko, terutama individu tertentu yang tidak mengambil sebarang vaksin dan pernah dijangkiti penyakit berkenaan.

“Kementerian terus mempertingkatkan langkah dalam usaha mencegah kemasukan penyakit ini ke dalam negara selaras keperluan Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa (International Health Regulations - IHR) 2005 dan Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan 1988,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan rakyat yang ingin mengadakan lawatan ke negara berisiko mengalami transmisi demam kuning supaya mendapatkan suntikan vaksin selewat-lewatnya 10 hari sebelum tarikh berlepas ke negara berkenaan.

“(Mereka perlu) membawa bersama sijil imunisasi yang sah ketika mengadakan perjalanan keluar negara. Vaksin demam kuning boleh diperoleh di Pusat Vaksinasi Demam Kuning yang diiktiraf oleh kementerian.

“Kementerian akan sentiasa memberi maklumat mengenai demam kuning ini dari semasa ke semasa,” katanya memberitahu pihaknya mengambil maklum situasi wabak demam kuning melanda Nigeria sejak 1 Ogos lalu menerusi maklumat diperoleh dari Nigeria CDC Situation Report.

Beliau berkata, pihaknya juga maklum artikel daripada laman sesawang Xinhuanet.com melaporkan 16 kematian disebabkan demam kuning di Bauchi, Utara Nigeria, minggu lalu.

Dr Noor Hisham berkata, tiada rawatan khusus untuk penyakit berkenaan pada masa ini namun pengambilan vaksin demam kuning boleh mencegah daripada mendapat jangkitan.

“Pengesahan kes boleh dibuat dengan ujian darah di makmal,” katanya memaklumkan ia penyakit berjangkit bawaan aedes dengan kebiasaannya 85 peratus kes akan menunjukkan gejala ringan atau tidak menunjukkan sebarang gejala.

Bagaimanapun bagi yang bergejala, katanya pesakit akan mengalami demam, badan menggigil, sakit badan, sakit kepala, loya dan muntah ketika fasa pertama.

“Sebanyak 15 peratus daripada kes fasa pertama akan masuk ke fasa kedua di mana pesakit akan mengalami gejala demam dengan jaundis, sakit bahagian abdomen, muntah dan perdarahan dan sebanyak 50 peratus daripada kes di fasa kedua ini akan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, kementerian mengambil beberapa langkah kawalan antaranya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi membuat saringan sijil vaksinasi demam kuning di pintu masuk negara.

“Pemantauan ke atas pengembara dari negara negara berisiko demam kuning mendapati seramai 39,187 pengembara disaring pada 2018 dan 21,853 pada 2019 (Januari-Julai).

“Jumlah pelawat yang tidak membawa sijil demam kuning yang sah pada 2018 adalah 143 orang dan 29 orang dari Januari sehingga 30 Julai lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, langkah lain adalah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan keperluan vaksinasi di kalangan pelajar asing; mempertingkat kapasiti dan keupayaan di beberapa makmal; memperkukuh survelan, kawalan dan pencegahan nyamuk aedes; mempertingkat kewaspadaan di kalangan anggota kesihatan serta bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Luar serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Katanya, langkah lain adalah menjalankan pemantauan terhadap acara yang membabitkan peserta antarabangsa melalui kerjasama dengan penganjur; menjalankan pemeriksaan terhadap klinik yang memohon untuk menjadi Pusat Vaksinasi Demam Kuning; memberi kesedaran mengenai penyakit demam kuning dan keperluan vaksinasi kepada orang awam serta membuat komunikasi risiko kepada orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkaitan maklumat demam kuning.

NEGARA-NEGARA BERISIKO MENGALAMI TRANSMISI DEMAM KUNING

AFRIKA (29 NEGARA)

• Angola

• Benin

• Burkina Faso

• Burundi

• Cameroon

• Central Africa Republic

• Chad

• Congo

• Côte d’Ivoire

• Democratic Republic Of Congo

• Equatorial Guinea

• Ethiopia

• Gabon

• Gambia

• Ghana

• Guinea

• Guinea Bissau

• Kenya

• Liberia

• Mali

• Mauritania

• Niger

• Nigeria

• Senegal

• Sierra Leone

• South Sudan

• Sudan

• Togo

• Uganda

AMERIKA SELATAN DAN TENGAH (13 NEGARA)

• Argentina

• Bolivia

• Brazil

• Colombia

• Ecuador

• French Guiana

• Guyana

• Panama

• Paraguay

• Peru

• Suriname

• Trinidad & Tobago

• Venezuela

Nota: Senarai ini adalah berdasarkan negara-negara berisiko mengalami transmisi Demam Kuning yang dikenalpasti oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa

Berita Harian X