Selasa, 1 Oktober 2019 | 9:48am
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRK Parlimen Tanjung Piai Johor, hari ini. - Foto hiasan

SPR umum tarikh PRK Tanjung Piai hari ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Johor, hari ini.

SPR akan mengumumkan tarikh berkenaan pada sidang media di Menara SPR, Putrajaya, hari ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, dari Pakatan Harapan-Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pakar bius dari segi kerjaya, membantu PH merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Jeck Seng mendapat 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi. – BERNAMA

Berita Harian X