Isnin, 30 September 2019 | 8:00pm

EKSKLUSIF: Kahwin wanita tempatan untuk buka perniagaan

KOTA KINABALU: Mengahwini wanita tempatan antara taktik digunakan lelaki warga Pakistan untuk menjalankan perniagaan dengan lokasi tumpuan di pinggir bandar dan penempatan setinggan yang jarang digempur pihak berkuasa.

Taktik lain mereka menggunakan nama warga tempatan atau mengambil alih perniagaan sedia ada milik penduduk dengan membayar sewa tertentu tanpa menukar penama pada lesen perniagaan.

Sumber berkata, pendatang asing berkenaan rata-rata membuka kedai runcit yang boleh ditemui di merata tempat sekitar Sabah.

“Lelaki Pakistan menyewa premis milik orang tempatan dan mereka pula seolah-olah hanya pekerja. Ada juga berkahwin dengan wanita tempatan dan menggunakan nama isteri untuk membuka kedai runcit.

“Kampung dan pinggir bandar menjadi sasaran berniaga kerana menyedari tidak ramai penduduk kampung membuka kedai. Mereka mungkin melihat kawasan itu jarang diperiksa pihak berkuasa,” kata sumber BH.

Tinjauan BH baru-baru ini mendapati kedai runcit warga Pakistan terdapat di pinggir bandar sekitar Sepanggar, Inanam, Manggatal, Likas, Sembulan, Putatan, Penampang, di Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau, Beaufort, Papar, Tuaran, Kudat dan Kota Marudu.

Mereka menyewa bangunan komersial, selain menyewa rumah atau premis dari penduduk setempat yang diubah suai menjadi kedai dengan menjual pelbagai barangan harian pengguna.

Dalam satu operasi bersepadu agensi kerajaan berkaitan di Penampang, pemeriksaan mendapati majoriti kedai runcit di daerah itu dikendalikan warga Pakistan, kebanyakannya menggunakan lesen orang tempatan.

Ada juga dikesan menggunakan lesen dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan lain yang sudah tamat tempoh, malah warga Pakistan dipercayai bekerja tanpa permit kerja manakala ada di antara mereka memiliki pasport tamat tempoh.

Tinjauan di sekitar Sembulan, Putatan dan Penampang pula mendapati kedai runcit warga Pakistan menjadi tumpuan penduduk kerana kedudukan kedai dekat dengan penempatan.

Di Sembulan contohnya, kedai runcit warga Pakistan dibuka berhampiran jalan dan jejantas laluan masuk ke penempatan atas air di Kampung Sembulan Lama.

Di Kampung Likas, rumah di tepi jalan utama diubah suai menjadi kedai runcit dan disewa oleh peniaga Pakistan. Di Putatan, warga asing itu membuka pasar raya mini di kampung, selain menyewa kedai di kawasan komersial berhampiran pasar raya besar.

Mengulas perkembangan itu, aktivis sosial dan hak asasi manusia Sabah, Datuk Patrcik Sindu, berkata kehadiran ramai warga Pakistan yang membuka kedai runcit, berpunca daripada sikap penduduk tempatan sendiri.

“Sebelum buka kedai, mereka biasanya datang menjual kain dan barang elektrik kepada penduduk kampung sehingga menjadi mesra sebelum mencari tapak perniagaan runcit.


WARGA asing didapati menyewa bangunan komersial, selain menyewa rumah atau premis daripada penduduk setempat yang diubah suai menjadi kedai dengan menjual pelbagai barangan keperluan harian. - Foto Malai Rosmah Tuah

“Malah, ada juga berkahwin dengan wanita tempatan dan menggunakan isteri untuk mohon lesen niaga. Kita memang sedar perkara ini, tetapi tidak tahu bagaimana prosedur perkahwinan mereka,” katanya.

Pekerja bengkel di Putatan, Rosman Rosli, 45, berkata kedai runcit warga Pakistan mendapat sambutan penduduk kerana beroperasi sehingga lewat malam berbanding pasar raya dan kedai milik penduduk tempatan.

“Mereka juga jual barang keperluan seperti beras dan lampin pakai buang bayi dalam kuantiti kecil, jadi harganya lebih murah. Sebab itu, mereka membuka kedai berhampiran kampung atau kawasan setinggan yang penduduknya kurang berkemampuan,” katanya.

Warga Pakistan adalah antara 1.2 juta warga asing di Sabah ketika ini, selain warga Filipina, Indonesia, China, India dan negara lain seperti dilaporkan Jabatan Imigresen sebelum ini.

Berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sebelum ini, daripada jumlah 1.2 juta itu, hanya 30 peratus dikenal pasti masuk secara sah ke negeri.

Masuk Sabah naik feri, bot laju elak pemeriksaan imigresen

Selain itu, Mereka didakwa menggunakan nama orang lain untuk menjalankan perniagaan termasuk mengahwini wanita warga tempatan supaya dapat membuka kedai runcit di lokasi yang dikenal pasti ada potensi perniagaan.

Taktik itu digunakan peniaga warga Pakistan bagi membolehkan mereka membuka kedai runcit selain mengambil alih perniagaan penduduk tempatan dengan membayar sewa tertentu kepada pemilik asal tanpa menukar lesen berniaga.

Menurut sumber, lelaki warga negara berkenaan datang ke negeri ini menggunakan pas lawatan, namun menyalahgunakannya untuk bekerja sebagai peniaga kedai runcit dengan ada antara mereka pernah dikesan tinggal lebih masa.


WARGA Pakistan dikenali sebagai Mohamad berniaga kedai runcit di Inanam mengaku berkahwin dengan wanita tempatan supaya dapat tinggal lama di Sabah. - Foto Mohd Izham Unnip Abdullah

Katanya, sasaran mereka adalah di kawasan kampung dan berhampiran setinggan, termasuk di daerah luar bandar berikutan kedudukannya yang jarang menjadi tumpuan operasi pihak berkuasa bagi mengelak diambil tindakan.

“Mereka biasanya menyewa premis milik orang tempatan, seolah-olah mereka adalah pekerja selain ada juga menggunakan nama wanita tempatan yang dikahwini mereka untuk membuka kedai runcit.

“Kampung dan pinggir bandar menjadi sasaran mereka untuk berniaga kerana menyedari tidak ramai penduduk kampung membuka kedai selain berpendapat berniaga di kampung jarang diperiksa pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum ini, satu operasi bersepadu pernah dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama beberapa agensi kerajaan di Penampang bagi memeriksa kedai runcit yang beroperasi di daerah itu, khususnya dikendalikan warga Pakistan.

Pemeriksaan itu mendapati sebahagian besar daripadanya beroperasi menggunakan lesen orang tempatan, sama ada atas nama pemilik asal premis atau wanita tempatan yang didakwa menjadi isteri warga asing terbabit.

Kebanyakan kedai runcit yang diusahakan peniaga terbabit turut didapati beroperasi tanpa kebenaran kegunaan tambahan tanah daripada pihak berkuasa kerana membuka kedai di tanah berstatus anak negeri yang hanya dibenarkan untuk aktiviti pertanian.

Selain itu, ada juga dikesan menggunakan lesen dikeluarkan PBT lain yang sudah tamat tempoh beberapa tahun lalu, malah bekerja di negeri ini tanpa permit kerja yang sah dan memiliki pasport tamat tempoh.

Sementara itu, aktivis sosial dan hak asasi manusia Sabah, Datuk Patrcik Sindu, berkata kehadiran ramai warga Pakistan di kawasan kampung dan pinggir bandar di negeri ini untuk berniaga kedai runcit berpunca daripada sikap penduduk tempatan sendiri.

“Sebelum membuka kedai di mana-mana kampung, peniaga warga Pakistan biasanya datang berniaga secara bergerak dengan menjual kain dan barangan elektrik kepada penduduk kampung sehingga akhirnya penduduk kenal betul dengan mereka.

“Apabila mereka sudah biasa dengan penduduk, mereka meluahkan pula hasrat untuk membuka kedai runcit. Maka, mereka mencari mana-mana penduduk yang mahu menyewakan rumah atau kedai sedia ada kepada mereka.

“Malah, ada juga yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan menggunakan isteri untuk memohon lesen berniaga. Kita memang sedar perkara ini tetapi kita tidak tahu bagaimana prosedur perkahwinan mereka,” katanya.

Beliau berkata, bermula dari situlah perniagaan warga Pakistan semakin berkembang di negeri ini terutama di kawasan kampung dan pinggir bandar.

Katanya, kehadiran komuniti Pakistan di negeri ini yang sudah tinggal dan menjadi warga negara sejak berpuluh tahun lalu turut menjadi dorongan pendatang baharu dari negara itu datang ke Sabah untuk bekerja sebagai peniaga kedai runcit.

“Kita sedar, ramai juga orang Pakistan yang sudah jadi orang Sabah kerana berkahwin dengan penduduk tempatan. Bagaimanapun, kita risau kemasukan pendatang baharu yang bekerja di sini secara tidak sah memberi kesan tidak baik kepada kita,” katanya.

Berita Harian X