Isnin, 30 September 2019 | 3:31pm
PEGUAM Negara, Tan Sri Tommy Thomas. - Foto Saifullizan Tamadi

'Ini janji Jabatan Peguam Negara'

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara memberi jaminan akan meneliti kertas siasatan kematian tragis anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dengan berhati-hati dan secara profesional.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diberi masa dan ruang untuk menjalankan siasatan susulan keputusan inkues kematian anggota bomba itu.

Katanya, banyak spekulasi yang kebanyakannya memberi maklumat salah, berbangkit berhubung langkah perlu diambil pelbagai agensi kerajaan susulan keputusan Koroner, Rofiah Mohamad, pada Jumaat lalu.

“Koroner memutuskan dua atau tiga individu menyebabkan kematian Muhammad Adib dan mengarahkan pihak polis menyambung siasatan.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, sudah memberi maklum balas kepada orang ramai bahawa ia akan disiasat.

“Polis perlu diberi masa dan ruang untuk menjalankan siasatan mereka dan mempunyai sumber serta kepakaran untuk menjalankan tugas mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tommy berkata, tugas Jabatan Peguam Negara akan bermula selepas siasatan dilengkapkan dan pelaku suspek dikenal pasti oleh polis.

Selepas itu, katanya, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan syor polis.

“Jabatan ini perlu meneliti kertas siasatan, mempertimbangkan syor polis dan mendakwa individu terbabit.

“Orang ramai harus diberi jaminan bahawa pejabat Pendakwa Raya mengambil serius tanggungjawab mengikut undang-undang.

“Jabatan ini akan berusaha sedaya upaya sebaik menerima kertas siasatan dan akan diteliti dengan berhati-hati serta profesional, ini janji jabatan ini,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Berita Harian X