Ahad, 29 September 2019 | 7:45pm

Taktik licik pusat latihan kemahiran swasta jerat pelajar

KUALA LUMPUR: Ramai pelatih di institut kemahiran swasta kini terpaksa menamatkan latihan separuh jalan selepas tidak mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) seperti dijanjikan.

Mereka berbuat demikian kerana tidak mampu membiayai kos pembiayaan selepas belajar sehingga enam bulan.

Pelatih terpedaya dengan janji institut berkenaan yang mereka akan mendapat pinjaman PTPK selepas menerima tawaran mengikuti latihan di pusat itu.

Itu taktik licik institut kemahiran swasta ketika menawarkan latihan kemahiran bagi menarik lebih ramai pelatih melanjutkan pengajian ke pusatnya untuk mengaut keuntungan namun akhirnya menjerat mereka jika pinjaman tidak diluluskan.

Sama ada pelatih terbabit perlu mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk membiayai kos pengajian atau terpaksa berhenti menyebabkan hasrat meningkatkan kemahiran serta pengetahuan bagi mendapat pekerjaan, terbantut.

Selain itu, ada institut dikesan menggunakan dokumen perjanjian jaminan pekerjaan meragukan daripada majikan bagi memenuhi syarat PTPK yang pada tahun ini mula mewajibkan surat berkenaan sebelum meluluskan permohonan pinjaman.

Jika keadaan itu berterusan, ia bakal menjejaskan pembiayaan kepada pelatih yang benar-benar berkelayakan, antaranya dari golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) memandangkan dana terhad PTPK yang kini turut menanggung tunggakan pinjaman dianggarkan RM1.6 bilion sejak 2001.

Pengerusi PTPK, K Saraswathy, berkata pihaknya sedang menyiasat tiga pusat latihan mengikut Seksyen 72 dan 73 Akta Pembangunan Kemahiran 2004 kerana didakwa mengambil kesempatan atas statusnya berdaftar dengan PTPK untuk membuat pengiklanan atau promosi yang didapati mengelirukan orang ramai.

Katanya, pusat latihan terbabit didakwa membuat promosi yang memberi gambaran setiap daripada pelatihnya bakal mendapat pinjaman daripada PTPK sedangkan pihaknya belum meluluskan sebarang kuota.

“Menggunakan PTPK sebagai satu tarikan untuk menarik pelajar bagi mengikuti kursus ditawarkan adalah satu kesalahan. Kelulusan pinjaman adalah ‘prerogative’ PTPK yang berhak menentukan kuota bagi setiap pusat.

“Tidak semestinya semua pelatih mendapat pembiayaan kerana pemilihan bergantung kepada pelbagai kriteria, antaranya peminjam adalah dari golongan B40. Bayangkan bagaimana keadaan pelatih yang tidak mendapat pembiayaan selepas belajar enam hingga tujuh bulan.

“Pelatih mungkin terpaksa berhenti belajar atau hilang keyakinan meneruskan pembelajaran. Perkara ini perlu dielak,” katanya kepada BH di sini.

Saraswathy berkata, pihaknya turut mengesan kegiatan pusat latihan yang menyalahgunakan dokumen sokongan bagi memohon pinjaman, antaranya surat jaminan pekerjaan disediakan majikan yang dilihat agak ‘meragukan’.

“Tahun ini kita mewajibkan pusat latihan mengemukakan kertas cadangan permohonan yang antaranya memerlukannya mengepilkan surat jaminan pekerjaan supaya kita tahu pelatihnya bakal mendapat kerja selepas tamat latihan.

“Bagaimanapun ada menyalahgunakannya dan mendapatkannya daripada kenalan atau perjanjian dikitar semula (pernah digunakan sebelum ini). PTPK hanya boleh menyemak berdasarkan dokumen dikemukakan tetapi kebenaran adalah sebaliknya.

“Kita tiada kapasiti untuk memeriksa dan dari segi dokumentasi, kita sudah lakukan bermacam-macam. Kita perlu berwaspada dalam meluluskan sebarang permohonan bagi mengelak ada pihak mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang melihat kelemahan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 bagi mengelakkan manipulasi daripada pusat latihan selain memberi kuasa kepadanya untuk menyediakan pinjaman bagi kursus tidak mendapat tauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Mungkin ada latihan tidak berdaftar dengan JPK tetapi ia bagus (mempunyai pasaran kerja tinggi). Kita mahu ada kuasa untuk memberi pembiayaan bagi membantu menyediakan lebih ramai tenaga kerja dalam sektor memerlukan.

“Selain itu, kita juga fokus kepada usaha mendidik pusat latihan supaya memahami peraturan sedia ada bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa depan, terutama kepada pelatih,” katanya.

Pelatih dipaksa mohon pinjaman bank

“Ketika sesi penerangan, pelbagai janji ditawarkan seperti jaminan mendapat pinjaman PTPK (Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran). Kami diberitahu hanya perlu bayar yuran asrama dan makanan.

“Tetapi selepas separuh jalan belajar, tiba-tiba kami diberitahu pinjaman tidak diluluskan. Malah, kami dipaksa pula memohon pinjaman daripada bank yang kadar faedahnya tinggi”.

Demikian keluh R Yagesh, seorang daripada pelatih yang terpedaya dengan taktik institut kemahiran swasta menarik ramai pelatih dengan memberikan jaminan mendapat pinjaman PTPK sebelum menerima kuota.


Pelajar, R Yagesh. - NSTP/Mustaffa Kamal

Yagesh, 23, dari Sungai Siput, Perak, berkata dia melanjutkan pengajian ke sebuah pusat latihan menyelenggara pesawat pada 2016 bagi mendapatkan lesen penyelenggaraan kapal terbang untuk membolehkannya bekerja di sektor berkenaan.

“Kami diberitahu supaya tidak terlalu memikirkan mengenai pinjaman (PTPK) kerana semuanya sudah diuruskan oleh institut latihan, tetapi selepas dua tahun setengah tiba-tiba diberitahu ia tidak diluluskan. Mereka minta pula kami memohon pinjaman daripada bank.

“Kami marah apabila diberitahu mengenainya kerana ia membabitkan masa depan pelatih. Bagaimana kami yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah serta sederhana hendak mencari RM75,000 untuk membayar kos pengajian dengan segera.

“Susulan itu, kami menubuhkan kesatuan pelajar diketuai saya untuk membangkitkan isu ini yang mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

“Siasatan mendapati pusat latihan berkenaan tidak berdaftar dengan PTPK," katanya ketika ditemui di sini.

Yagesh berkata, mereka lega dengan arahan Kulasegaran supaya pinjaman PTPK pelatih di institut terbabit diuruskan dengan segera yang difahamkan kini masih proses sebelum diluluskan serta disalurkan.

“Bayangkan bagaimana kalau kami tidak membangkitkan perkara itu, sudah tentu ramai lagi bakal terpedaya dan terpaksa membuat pinjaman daripada bank dengan kadar faedah tinggi,” katanya.

Katanya, mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke mana-mana pusat latihan atau institut pengajian tinggi perlu membuat semakan dengan lebih lanjut bagi mengelakkan perkara seperti itu berulang.

“Semak bila ia ditubuhkan dan adakah berdaftar dengan pihak berkuasa seperti PTPK. Jangan hanya kerana janji manis ditawarkan, mudah sahaja kita melanjutkan pengajian tanpa mengambil kira risiko pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X