Ahad, 29 September 2019 | 7:44pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad memotong kek Ulangtahun ke 23 Menara Kuala Lumpur dan diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Rozlan Mohamed (kiri) sempena majlis Penutup “KL Tower International Jump Malaysia 2019” di Menara Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Kampung Baru: Kerajaan terbuka terhadap nilai tanah

KUALA LUMPUR: Kerajaan terbuka menerima tawaran daripada mana-mana pihak yang sedia membeli tanah Kampung Baru melebihi nilai yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, berkata tawaran terbabit bagaimanapun perlu mematuhi semua syarat ditetapkan selain mendapat persetujuan pemilik tanah.

“Saya sudah beritahu sebelum ini jika ada yang boleh tawarkan lebih daripada penilaian yang kerajaan lakukan terhadap nilai tanah Kampung Baru, kerajaan amat terbuka dan sedia membantu.

“Tidak kisah jika boleh tawarkan RM2,000 satu kaki persegi, kerajaan boleh bantu.

Saya sebelum ini menyatakan bahawa harga RM850 (sekaki persegi) itu ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. Maknanya penilai yang sah,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad (tujuh kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Rozlan Mohamed ( lima kiri) bergambar bersama rakan penaja sempena majlis Penutup “KL Tower International Jump Malaysia 2019” di Menara Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Terjunan Antarabangsa Malaysia Menara KL (KLTIJM) 2019 di Menara Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) akan memberi kerjasama sekiranya Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) membantu pihaknya mendapatkan tawaran membeli tanah di Kampung Baru pada harga RM2,000 sekaki persegi.

Usaha itu disambut baik kerana kementerian terbuka terhadap sebarang tawaran yang tinggi nilainya berbanding RM850 sekaki persegi dibuat kerajaan ketika ini.

Mengenai permintaan pemilik tanah supaya kerajaan menaikkan nilai tanah Kampung Baru, Khalid berkata, beliau akan berbincang perkara itu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tun (Dr) Mahathir kini berada di luar negara atas urusan rasmi. Sebaik sahaja beliau pulang, saya akan berjumpa dengannya dan berbincang berhubung perkara itu,” katanya.

Berita Harian X