Ahad, 29 September 2019 | 4:38pm
Khalid (dua dari kiri) bergambar bersama (dari kiri) Mazlan, Nor Hisham, Zulkifli dan Presiden Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Mohd Noor Tahir pada Program Komuniti Sejahtera 'Inisiatif Wilayah Peduli' di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak hari ini. - Foto BERNAMA

Tunggakan sewa PPR, PPA cecah RM58 juta

KUALA LUMPUR: Tunggakan bayaran sewa membabitkan Projek Perumahan Awam (PPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini mencecah RM58 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, berkata tunggakan yang dikenal pasti sejak puluhan tahun dahulu tidak dapat diselesaikan atas alasan penyewa tidak mempunyai pekerjaan.

Katanya, tunggakan dikesan berlaku sejak bertahun lamanya dan bukan dalam tempoh setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Apabila PH ambil alih, kita tak nak datang dengan pendekatan mengejut seperti mengambil tindakan tetapi cuba selesaikan masalah ini terlebih dahulu.

“Beri tempoh dalam tiga atau enam bulan untuk penduduk bayar sewa, kita tengok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Wilayah Peduli (Komuniti Sejahtera) di PPR Desa Rejang di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Khalid berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan program Karnival Kerjaya bermula di PPR Desa Rejang dalam usaha membantu penduduk PPA dan PPR menyelesaikan kemelut bayaran tunggakan sewa rumah.

Katanya, karnival dianjurkan dengan kerjasama Jobs Malaysia yang turun padang bertemu penduduk dan membantu mencari peluang pekerjaan sesuai.

“Kita nak selesaikan masalah penduduk PPA dan PPR. Ini adalah pendekatan sepadu, bukan sekadar nak ambil tindakan undang-undang, nak bertindak keras,” katanya.

Beliau berkata, DBKL turut merintis Program Sayangi Komuniti dan Program Satu Rumah Satu Graduan bermula di PPA Desa Rejang.

“Program Sayangi Komuniti ialah program penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK di kawasan PPA dan PPR dalam usaha membanteras jenayah setempat.

“Program Satu Graduan Satu Rumah adalah program tajaan penuh yang menyasarkan belia B40 dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya sambil menambah ia mendapat kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama pihak industri.

Berita Harian X