Ahad, 29 September 2019 | 4:03pm
Dr Dzulkefly (belakang tiga, kanan) bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Jom Nak Sihat di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Bandar Baru Kuala Selangor hari ini. - NSTP/Sairien Nafis

Tambahan peruntukan perkhidmatan kesihatan dalam Belanjawan 2020

KUALA SELANGOR: Kualiti perkhidmatan kesihatan belum mencapai tahap memuaskan, sekali gus memerlukan perhatian serius kerajaan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Justeru, beliau berharap kerajaan memberi perhatian serius dengan meningkatkan peruntukan kepada kementerian itu dalam Belanjawan 2020.

“Kementerian berharap isu perkhidmatan kesihatan menjadi antara keutamaan kerajaan. Semua pihak tahu banyak keperluan dan kelengkapan yang tidak cukup di hospital seluruh negara. Malah, laporan audit menunjukkan hospital di seluruh negara memerlukan tambahan pelbagai kelengkapan dan peralatan.

“Selain itu berlaku juga bebanan kerja disebabkan kekurangan jururawat. Ini kerana nisbah jururawat dengan penduduk negara tidak mencapai tahap sepatutnya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Anugerah Jom Nak Sihat Daerah Kuala Selangor di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor di sini, hari ini.

Menurut Laporan Audit Negara 2018 Siri 1, yang dibentangkan Julai lalu, Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) mengalami kekurangan perjawatan antara 11.6 hingga 53.1 peratus berbanding bilangan perjawatan diperlukan berdasarkan pengiraan ‘Workload Indicators of Staffing Need (WISN) 2010’.

Laporan itu turut menyebut kekurangan perjawatan bagi pakar kecemasan adalah antara 75.6 hingga 79.5 peratus, pegawai perubatan antara 41.2 hingga 64.6 peratus, penolong pegawai perubatan antara 2.6 hingga 33.9 peratus dan jururawat terlatih antara 17.4 hingga 67.1 peratus.

ETD juga kekurangan katil bagi ruang rawatan di Zon Kuning, Zon Merah dan Observation Ward/Bay kerana menerima jumlah pesakit yang semakin meningkat menyebabkan terpaksa menyediakan antara lapan hingga 50 unit atau dua hingga lima kali ganda bilangan katil tambahan atau sofa.

ETD juga kekurangan 108 (50.9 peratus) daripada 212 peralatan perubatan yang perlu disediakan mengikut keperluan ‘Emergency Medicine and Trauma Services Policy’ (EMTSP) serta peralatan komputer yang dibekalkan tidak mencukupi meskipun penggunaan sistem ICT mencapai tahap optimum.

Kementerian itu juga perlu diberikan perjawatan tambahan bagi mengatasi kekurangan kakitangan kesihatan termasuk pakar kecemasan berbanding peningkatan beban kerja.

Laporan itu turut mencadangkan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Kewangan perlu mempertimbangkan kaedah lebih komprehensif untuk menangani kekurangan fasiliti seperti ‘outsourcing’ atau ‘leasing’ bagi memberikan perkhidmatan kecemasan lebih baik serta dapat mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan.

Kementerian itu juga perlu memberi keutamaan terhadap keupayaan infrastruktur dan sistem ICT agar tidak menjejaskan kecekapan perkhidmatan kecemasan terutama dari aspek pengurusan data dan membuat keputusan yang pantas.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, jawatankuasa khas berhubung kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape sekarang dalam peringkat akhir perbincangan, sebelum dibentangkan ke Kabinet.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas itu yang diketuai Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye sudah berbincang pemegang taruh.

“Kami akui isu vape agak kritikal, apatah lagi sudah ada kes kematian dan ramai yang alami masalah kesihatan akibat menghisap vape,” katanya.

Berita Harian X