Sabtu, 28 September 2019 | 3:39pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kampung Baru: Khalid akan beri kerjasama jika DPMM dapat tawaran RM2,000 sekaki persegi

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) akan memberi kerjasama sekiranya Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) membantu pihaknya mendapatkan tawaran membeli tanah di Kampung Baru pada harga RM2,000 sekaki persegi.

Menterinya, Khalid Abd Samad, berkata usaha itu sambut baik kerana pihaknya terbuka terhadap sebarang tawaran yang tinggi nilainya berbanding RM850 sekaki persegi dibuat kerajaan ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang tawaran mesti mematuhi syarat ditetapkan dan pihaknya termasuk pemilik serta pewaris tanah di Kampung Baru akan memberikan kerjasama.

“Saya menyambut baik pandangan Setiausaha Agung DPMM bahawa harga yang sepatutnya bagi tanah Kampung Baru adalah RM2,000 sekaki persegi dan bukannya RM850 sebagaimana kami tawarkan.

“Saya berharap pandangan ini adalah pandangan kolektif DPMM sendiri dan ianya berdasarkan penilaian yang dilakukan secara profesional.

“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan sekiranya DPMM mengusahakan agar tanah di Kampung Baru dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi itu. Saya yakin berdasarkan penilaian profesional dilakukan, DPMM akan mampu mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan untuk menjayakan pembelian ini.

“Jika DPMM bersetuju untuk membelinya dengan harga RM2,000 sekaki persegi, saya akan pastikan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membolehkan DPMM membeli tanah penduduk Kampung Baru dengan harga ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid menyuarakan keyakinan terhadap hasrat DPMM ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru.

Secara umum, menurut beliau, pihaknya terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan harga yang lebih tinggi.

Apa paling mustahak, katanya, asalkan mereka mematuhi syarat pemilikan ditetapkan iaitu milik Melayu.

Pada 24 September lalu, DPMM melalui Setiausaha Agungnya, Amirhamzah Karim meminta kerajaan mempertimbangkan alternatif tanah rizab Melayu di Kampung Baru daripada pemilik masing-masing daripada membelinya di bawah harga pasaran.

Amirhamzah yang dipetik sebagai berkata, langkah itu bagi menjamin warisan tanah itu kekal dalam pemilikan kaum asal seperti diamalkan oleh negara maju, termasuk Singapura.

Beliau turut mempertikaikan harga RM859 sekaki persegi yang ditawarkan kerajaan sambil menambah ia dikatakan melebihi RM2,000 sekaki persegi.

Berita Harian X