Jumaat, 27 September 2019 | 5:22pm

Jangan jadikan keputusan Mahkamah Koroner isu perkauman - TPM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, meminta semua pihak bertenang dan tidak mempolitikkan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam, berhubung inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam itu sebagai isu perkauman.

“Kita hormati apa yang diputuskan inkues, saya difahamkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sudah mengeluarkan kenyataan untuk buka balik siasatan atas apa yang berlaku.

“Ini (keputusan Mahkamah Koroner) bukan kes perkauman... jenayah adalah jenayah, kalau salah bukan kerana orang itu dari kaum tertentu, kita semua rakyat Malaysia, kita memang nak keadilan untuk Adib.

“Jadi jangan jadikan kes ini (isu) perkauman, kita juga kena bertenang dan jangan mempolitikkan isu ni,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Rahmah 2019 (KR19) di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Pagi tadi, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Laporan Bank Dunia 'Breaking Barriers- Towards Better Economic Opportunities for Women in Malaysia' hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X