Khamis, 26 September 2019 | 3:38pm
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kementerian Pendidikan sasar kemasukan MBK meningkat

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menyasarkan 75 peratus murid berkeperluan khas (MBK) akan mendaftar dalam program pendidikan inklusif menjelang tahun 2025.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata berikutan itu pihaknya menyasarkan untuk mencapai 55 peratus murid akan mendaftar dalam program sama menjelang akhir tahun ini.

Katanya, pendaftaran MBK pada tahun lalu sudah mencapai 50.5 peratus dan kini pihaknya sedang berusaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Sehingga 30 Jun lalu, kita mempunyai seramai 87,574 MBK di seluruh negara. Kita juga ada 2,492 MBK yang kini berada di bawah sekolah pendidikan khas.

“Bagi Program Bersepadu Pendidikan Khas, kita mempunyai 68,874 murid berkeperluan khas, terdiri 967 murid prasekolah, 38,710 murid sekolah rendah dan 29,197 pelajar sekolah menengah,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas (SEIC) 2019 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Datuk Yasmin Hussein.

Lebih 16 negara antaranya Thailand, Kemboja, Jepun, Indonesia, Hong Kong, Filipina dan Singapura menyertai persidangan selama tiga hari yang bermula semalam.

Amin berkata, pihaknya menerima maklum balas memberangsangkan daripada ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas melalui pelaksanaan ‘Zero Reject Policy’ untuk MBK.

“Dasar itu secara tidak langsung membenarkan murid terbabit mendaftar di sekolah kerajaan tanpa sebarang kesukaran.

“Di bawah dasar itu, kanak-kanak keperluan khas dapat menerima pendidikan sepadan dengan kebolehan masing-masing merangkumi prasekolah, sekolah rendah dan menengah. Beberapa penambahbaikan juga perlu dilakukan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan tanpa masalah,” katanya.

Antara strategi disasarkan, membekalkan pihak sekolah dengan kemudahan yang mudah diakses, meningkatkan bilangan sekolah inklusif, meletakkan lebih ramai guru pendidikan khas serta meningkatkan pengambilan pelatih pendidikan khas di Institut Pendidikan Guru.

Berita Harian X